‘UMNO, Pas, Bersatu jangan cari benda negatif’ - Utusan Malaysia

‘UMNO, Pas, Bersatu jangan cari benda negatif’

NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gabungan di antara UMNO, Pas dan Bersatu tidak boleh dipecahbelahkan kerana ia menjadi syarat untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Zawawi Salleh berkata, ia merupakan perkara penting sebagai teras kekuatan dalam politik supaya boleh mentadbir negara akan datang tanpa memberi laluan kepada pihak lain menang PRU-15.

“Penyatuan ummah sangat mustahak dan ia menjadi hakikat dalam negara kita yang ada tiga parti Melayu yang besar iaitu Pas, UMNO dan Bersatu. Ketiga-tiga parti ini tidak boleh menoleh ke belakang lagi dan jangan cari perkara yang negatif.

“Semua pihak baik UMNO mahupun Bersatu, perlu bertenang dan jangan buat kenyataan yang boleh menegangkan keadaan. Setiap parti ada kelemahan dan kita perlu tambah baik kelemahan tersebut dengan gabungan orang Melayu itu sendiri,” katanya.

Gabungan itu dalam masa yang sama jelas Nik Zawawi, tidak akan mengetepikan kaum lain yang juga perlu dipelihara haknya seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara.

“Seperti yang kita lakukan sekarang, Pas akan tetap menjadi pendamai kepada manamana parti yang ada. Usaha itu sentiasa ada dan saya yakin tentang perkara itu.

“Bahkan kita di Pas sentiasa jemput UMNO dan Bersatu pada program yang kita anjurkan, tetapi kekuatan politik kita juga perlu ada kaum lain. Kita akan letak mereka bersama dengan kita untuk terus membangunkan negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, masih terlalu awal untuk meramalkan masa depan Pas yang kononnya didakwa bermain ‘dua kolam’ dalam isu kerjasama Muafakat Nasional (MN) serta PN.

Malah Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd. Amar Abdullah berkata, tiada perbincangan atau keputusan dibuat terhadap pembahagian kerusi sama ada di peringkat negeri dan pusat.

Sehubungan itu beliau mendakwa kenyataan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang menyifatkan Pas rugi sekiranya bertindak demikian hanyalah pandangan peribadi semata-mata.

“Tiada keputusan muktamad dibuat berhubung pembahagian kerusi kerana perbicangan pun belum bermula lagi. Masih terlalu awal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN