Trizure sedia platform gaya hidup digital - Utusan Malaysia

Trizure sedia platform gaya hidup digital

ZUHAIRI AB. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada ketika ini mengubah gaya hidup masyarakat daripada secara konvensional kepada digital.

Banyak perubahan selepas wabak itu melanda dunia sekali gus memaksa budaya kerja diubah ke arah digital serta memanfaatkan teknologi sedia ada.

Menyedari kepentingan gaya hidup digital, Trizure International (M) Sdn. Bhd. kini dalam usaha mewujudkan sebuah platform secara dalam talian bagi membantu rakyat termasuk golongan B40 dan M40 memasarkan produk perniagaan mereka.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, syarikat itu dalam proses mewujudkan aplikasi secara dalam talian seperti Lazada dan Shopee yang akan membantu mempromosikan produk perniagaan golongan berkenaan secara dalam talian.

“Usaha Trizure International Malaysia ini adalah selaras saranan kerajaan yang menggalakan perniagaan secara digital pada era norma baharu ekoran penularan pandemik Covid-19 pada ketika ini.

“Tentunya kaedah perniagaan secara dalam talian ini akan memudahkan dan menjimatkan golongan peniaga khususnya kumpulan B40 dan M40,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zuhairi berkata, untuk melaksanakannya, Trizure International bekerjasama dengan badan peminjam modal niaga dalam strategi digital dengan jaminan jana pendapatan individu yang menyertainya.

“Teras pelaksanaan adalah terdiri dari kerjasama antara Trizure International Malaysia, Koperasi Penguatkuasa PBT Berhad dan Time Brain Sdn. Bhd.

“Majlis pelancaran Empayar Bisnes Trizure secara ‘live streaming’ akan diadakan pada 1 Mac ini di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK), Kuala Gandah, di Lanchang, Temerloh. Ia dibuat di PKGK kerana Trizure pada hari berkenaan menyumbangkan makanan gajah kepada pusat tersebut,” katanya.

Beliau berkata, penularan pandemik Covid-19 bukan sahaja menimbulkan keperluan mendesak untuk menangani norma baharu tetapi turut mempersiapkan rakyat mendepani perubahan gaya hidup masa depan berlandaskan inovasi dan teknologi.

Menurutnya, wabak itu juga telah mempercepatkan pembangunan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan pelaksanaan ekonomi digital.

“Ini terbukti apabila potensi 4IR yang dipacu dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) turut digunakan dalam aktiviti pengeluaran, perkhidmatan dan perniagaan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya