Tabung Musa’adah Covid-19 sudah belanja RM4 juta - Utusan Malaysia

Tabung Musa’adah Covid-19 sudah belanja RM4 juta

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri mengibarkan bendera Malaysia bagi perlepasan konvoi Program Musa'adah Covid-19 Bantuan Bencana Alam di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah membelanjakan sekitar RM4 juta daripada kutipan Tabung Musa’adah Covid-19 2.0.

 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, secara keseluruhan, tabung itu sudah meraih sumbangan lebih RM6 juta setakat ini.

 “Justeru, saya menyeru dan merayu kepada dermawan, korporat dan seluruh rakyat Malaysia agar dapat terus menghulurkan lagi sumbangan ikhlas anda kepada tabung ini,” katanya.

 Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Musa’adah Covid-19 Jakim-YWM di Kompleks Islam Putrajaya hari ini.

 Ia melibatkan penyampaian bantuan sebanyak RM2,000 kepada Abdul Taib Abdul Kadir yang berasal dari Sarawak dan sedang menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur dekat sini.

 Turut hadir menerima sumbangan itu ialah 122 pelajar keluarga berpendapatan rendah (B40) dari Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia dengan nilai keseluruhan RM24,400.

 Tidak ketinggalan golongan yang mendapat bantuan tabung itu ialah 60 staf Pasukan Pengurusan Jenazah Covid-19 Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan jumlahnya RM15,000.

 Terdahulu, beliau melepaskan konvoi Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir Jakim-YWM ke Dungun, Terengganu, dengan barangan keperluan bernilai RM60,000.

 Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Tabung Musa’adah Covid-19 2.0 yang dilancarkan pada 19 Oktober lalu menyasarkan kutipan sehingga RM10 juta susulan gelombang kedua wabak itu.

 “Pada masa sama, kesemua agensi di bawah Jakim sudah membelanjakan lebih RM15 juta pada bulan lalu yang merupakan peruntukan setiap jabatan bagi tujuan bantuan sebegini,” katanya.  

 Umat Islam ujar beliau, boleh melihat rekod perkembangan agihan semua bantuan disalurkan oleh pelbagai agensi di bawah Jakim yang dikemas kini secara telus pada setiap awal bulan.

 Malahan jelas beliau, setiap dua minggu sekali, kesemua agensi terbabit berbincang untuk menetapkan sasaran serta koordinasi tugas pengagihan bantuan agar lebih tepat dan tersusun.

 Tabung Musa’adah Covid-19 versi pertama dilancarkan Zulkifli pada 24 Mac tahun lalu sejurus seminggu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan pihak kerajaan ketika itu.

Yang turut hadir pada acara berkenaan ialah Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya