Sunyi beraya di rumah orang-orang tua tanpa keluarga - Utusan Malaysia

Sunyi beraya di rumah orang-orang tua tanpa keluarga

S.K Tangakaliswaran (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penguni sempena Tahun Baharu Cina di Rumah Orang-Orang Tua Sukarela Pandan, Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sambutan Tahun Baharu Cina bagi penghuni Rumah Orang-Orang Tua Sukarela Pandan, di sini tahun ini pastinya suram dan sunyi tanpa kunjungan daripada ahli keluarga serta sanak saudara.

Seorang warga emas, Tan Bak Khim, 82, berkata, dia rindu keletah serta keceriaan anak saudaranya yang kali ini berada di Singapura pada sambutan Tahun Baharu Cina.

Katanya, sebelum ini, adik-beradik serta anak saudaranya tidak pernah melepaskan peluang untuk memanfaatkan hari perayaan itu dengan melawatnya di rumah orang-orang tua itu.

“Sambutan Tahun Baru Cina kali ini agak suram tanpa kelibat mereka. Semua adik-beradik saya sudah berkahwin dan mereka menetap di Singapura.

“Kerinduan terhadap mereka sedikit terubat apabila dapat menelefon bertanyakan khabar serta perkembangan semasa. Itu sudah cukup memadai bagi melepas rindu,” katanya selepas menerima sumbangan Pertubuhan Integrasi Nasional Johor dan Melaka di rumah orang tua berkenaan hari ini.

Bak Khim yang berasal dari Minyak Beku, Batu Pahat, berkata, penghuni lain di rumah tersebut menjadi penemannya di kala sunyi pada hari perayaan tersebut sejak 13 tahun tinggal di situ.

Bagi Lee Kah Chum, 73, insan yang paling dirindui ketika menyambut kedatangan Tahun Baharu Cina adalah kakaknya yang berada ribuan batu di Australia.

Katanya, dia sering terkenang saat indah meraikan perayaan itu bersama abang dan kakaknya di Kuala Lumpur sebelum membawa haluan masing-masing.

“Kakak saya tinggal di Australia selepas berkahwin dengan orang sana, kali terakhir dia dan keluarga datang ziarah saya pada 2019.

“Abang saya pula, masih berada di Kuala Lumpur menguruskan perniagaannya. Dia pun ada sesekali melawat saya di sini bersama anak-anaknya.

“Saya tak janggal raya tahun ini kerana tidak keseorangan, ada rakan-rakan yang menemani saya,” katanya yang tidak berkahwin.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Integrasi Nasional Johor dan Melaka, Datuk Seri S. K. Tangakaliswaran berkata, pihaknya menyumbangkan duit raya, bahan keperluan asas seperti beras, gula dan minyak masak kepada rumah orang tua berkenaan.

Jelasnya, terdapat 30 penghuni termasuk kakitangan di rumah orang tua tersebut dan diharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban selain menceriakan mereka sempena Tahun Baharu Cina. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya