Strawberi tanah rendah jadi pilihan - Utusan Malaysia

Strawberi tanah rendah jadi pilihan

SHARINA Md. Shah menunjukkan pokok strawberi yang ditanam di halaman rumahnya di Taman Pinggiran Golf, Seremban. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bermula sekadar menanam tujuh pokok strawberi, seorang usahawan pemasaran digital kini menjadikan jualan anak pokok buah berkenaan sebagai pendapatan sampingannya.

Sharina Md. Shah, 47, berkata, kini dia juga menjadi pembekal anak pokok strawberi yang hanya ditanam di halaman rumahnya di Taman Pinggiran Golf dekat sini kepada pengusaha bakeri di sekitar daerah ini.

“Pada mulanya, saya fokus untuk menanam anak benih strawberi tanah rendah pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu ke­rana kesukaran mendapatkan bekalan buah strawberi yang segar untuk dihias di atas kek.

“Kemudian timbul idea untuk menanam sendiri dua jenis strawberi iaitu Japanese Sweet dan Korean Sweet. Saya melakukan penanaman secara tradisional kerana menggunakan baka tanah rendah yang memang sesuai pada cuaca panas ketika ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, kini dia sudah menjual lebih 500 pokok strawberi dan ada kalanya pelanggan turut mahu membeli buah strawberi yang dita­namnya kerana rasa lebih manis dan tidak masam.

“Buah strawberi ini sangat manis dan 60 peratus permintaan adalah dalam kala­ngan peniaga kek. Saya juga ada menerima permintaan daripada sekolah-sekolah berdekatan yang mahu mendapatkan anak pokok ini.

“Kini saya mampu menjana RM3,000 hingga RM5,000 sebulan dengan penjualan anak pokok strawberi malah hasil tanaman saya sendiri mampu mendapat hasil sebanyak 50 hingga 100 biji buah seminggu,” katanya.

Sharina menambah, penja­gaan strawberi berkenaan lebih mudah kerana perlu terdedah kepada cahaya lebih daripada lima jam dan diletakkan di tempat terbuka.

“Pokok strawberi tanah rendah ini mudah dijaga lebih-lebih lagi dengan cuaca panas ketika ini sangat membantu pertumbuhan buah dan perlu disiram dua kali sehari untuk menjaga kelembapan tanah kerana menggunakan 70 peratus daripada tanah bakar.

“Saya membeli anak benih pokok strawberi berkenan dari Perak dan mempelajari sepenuhnya melalui YouTube untuk penjagaan pokok ber­kenaan,” katanya yang menjual anak pokok tersebut bermula pada harga RM15 hingga RM55.

Dia juga menjual buah strawberi kepada peniaga ba­keri dengan harga serendah RM20 bagi 300 gram berban­ding strawberi di Cameron Highlands yang dijual dengan harga RM25 sehingga RM29 untuk berat yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya