PETALING JAYA: Sikap universiti yang mementingkan penarafan dan kuantiti penerbitan jurnal di peringkat antarabangsa sebagai ukuran prestasi utama (KPI) menyebabkan universiti terus melahirkan ahli akademik yang tidak pun mencerminkan kualiti kesarjanaan.
Antara lain, ini disebabkan wujud sistem berbeza-beza antara setiap universiti tanah air yang menerima dan tidak menerima terbitan jurnal tidak berwasit sebagai syarat lantikan ahli akademik ke dalam perjawatan tertinggi.
Justeru, Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma menggesa pihak universiti untuk menambah baik peraturan, syarat dan kelayakan tentang kenaikan pangkat ke jawatan profesor madya dan profesor dengan memberi pengiktirafan sewajarnya kepada mereka yang menerbitkan jurnal berwasit.
Sekiranya pihak universiti terus menerima budaya penerbitan jurnal yang tidak melalui proses penilaian yang sah, selagi itulah ‘jurnal pemangsa’ terus berlaku sekali gus mengancam tulisan akademik yang berkualiti.
“Universiti harus memastikan perkara ini tidak berlaku tetapi malangnya, ia sukar dilakukan kerana universiti mahu menghasilkan ramai profesor dan sebab itu ada yang melonggarkan syarat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Jurnal berwasit adalah jurnal yang telah melalui proses perwasitan oleh pakar yang dilantik biasanya melibat dua sehingga lima pewasit. Proses tersebut dijalankan secara double blind review di mana penulis dan pewasit saling tidak mengenali bagi memastikan ketelusan dan tidak berat sebelah malah prosesnya mengambil masa selama satu sehingga empat bulan.
Jurnal tidak berwasit pula tidak dirujuk kepada pakar untuk pengesahan dan penilaian kualiti penulisan malah penerbitannya menjadi lebih mudah dan cepat. Bagaimanapun, penulis perlu membayar kos penerbitan mencecah RM60,000 bagi setiap edisi yang diterbitkan.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan berdasarkan pendedahan oleh Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi, ada dalam kalangan ahli akademik menerbitkan tulisan akademik atau kajian menggunakan jurnal pemangsa sebagai jalan pintas mencapai KPI masing-masing dan mengejar pangkat.
Bagaimanapun, kata Madeline, penerbitan jurnal pemangsa tidak bercanggah dengan sebarang peruntukan undang-undang cuma, hanya menyentuh soal etika dan bergantung kepada permintaan serta bekalan oleh pihak yang menjanjikan penerbitan terbabit.
“Kita tidak perlukan undang-undang untuk mengikat seseorang individu kerana dalam akademik, kita sudah ada kumpulan pakar bersama dan jika melaksanakannya, dikhuatiri hanya mengundang lebih ramai ahli akademik mencari ‘jalan tikus’ untuk mengejar pangkat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi (Pendapat), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman turut mempersoalkan, berbaloikah angka seperti lima atau enam artikel setahun yang ditetapkan universiti sehingga mengorbankan etika dan ketelusan dalam penerbitan jurnal.
Beliau berkata, walaupun sistem pendidikan cuba beralih kepada kualiti, namun corak pemikiran sebilangan pentadbir masih berpegang kepada aspek kuantiti.
“Ahli akademik tertekan untuk menghasilkan sejumlah penerbitan yang diharapkan setiap tahun dan untuk dinaikkan pangkat secepat mungkin. Ada yang menggunakan cara penerbitan yang pantas dan telah berjaya.
“Penerbitan dalam jurnal berwibawa memerlukan masa panjang, mesti berasaskan penyelidikan berkualiti dalam menghasilkan ilmu baharu, diwasit oleh pakar berwibawa dan perlu tepat kerana ia akan dirujuk pelajar dan rakan kesepakaran,” ujarnya.- UTUSAN









