Satu telefon percuma, kongsi tiga beradik - Utusan Malaysia

Satu telefon percuma, kongsi tiga beradik

Irfan Izzuddin Zaharuddin (tengah) bersama dua adiknya, Iffah Damiah (kiri) dan Isyarah Muizzuddin berkongsi telefon bimbit yang diberikan percuma untuk mengikuti PdPR di Kampung Sungai Chengeh, Serkat Pontian di sini semalam. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kesempitan hidup menyebabkan tiga beradik hanya mampu menggunakan sebuah telefon bimbit bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak 20 Januari lalu.

Itupun, gajet mudah alih pemberian percuma daripada orang lain sementara bapa mereka hanya menggunakan telefon bimbit biasa yang tidak boleh memuat naik sebarang aplikasi manakala ibu pula tiada peralatan itu.

Keadaan itu memaksa Irfan Izzuddin Zaharuddin, 17, dan dua adiknya, Iffah Damiah, 12, dan Isyarah Muizzuddin, 10, bergilir-gilir menggunakan telefon tersebut jika menerima bahan pembelajaran daripada guru masing-masing.

Menurut bapa mereka, Zaharuddin Md. Nor, 50, pendapatannya kini terjejas selepas tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat disebabkan masalah kesihatan dan hanya mengambil upah di kampung dengan pendapatan tidak menentu.

“Sebelum ini saya menjadi nelayan yang menggunakan bot kecil untuk menyauk udang tetapi disebabkan masalah sungai cetek saya tidak dapat keluar ke tempat lain bagi meneruskan aktiviti tersebut.

“Jika saya turun ke sungai menyauk udang dapatlah pendapatan antara RM50 ke RM60 sehari, kini tiada pendapatan langsung dan bergantung kepada pemberian upah yang diberi,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Chengkeh, Serkat, di sini semalam.

Tambah Zaharuddin, dia dan isteri, Maslinda Omar, 50, buntu sekiranya proses PdPR diteruskan lebih lama.

Katanya, dia kini hanya diberikan upah antara RM25 hingga RM50 bergantung kepada kerja-kerja yang dilakukan seperti membancuh simen, membaiki rumah dan lain-lain jika diperlukan.

Ujarnya, masalah capaian internet juga menjadi penghalang buat anak-anaknya untuk belajar dengan sempurna dan perlu mencari lokasi lain seperti di masjid, kawasan lapang dan sebagainya.

“Setakat ini kami tidak menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana agensi selain pemberian Rumah Ehsan Johor pada tahun 2018 yang berharga RM48,000 melalui bantuan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh.

“Mujur juga ada sedikit bantuan kewangan daripada bapa mentua dan abang ipar yang digunakan bagi membeli barangan keperluan harian selain perbelanjaan ke sekolah anak-anak jika sekolah dibuka seperti tahun lalu,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga itu boleh menghubungi Zaharuddin menerusi talian 017-780 9132 atau menyumbang melalui akaun Bank Simpanan Nasional (22-397-111729- 5). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN