Samun RM95 beli dadah, rokok - Utusan Malaysia

Samun RM95 beli dadah, rokok

SUSPEK berusia 37 tahun yang disyaki menyamun sebuah kedai serbaneka menggunakan parang semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah dalam kejadian di Taman Bertam Perdana, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penganggur nekad menyamun sebuah kedai serbaneka menggunakan parang semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah dalam kejadian di Taman Bertam Perdana, di sini, Ahad lalu.

Suspek berusia 37 tahun itu bagaimanapun berjaya dicekup polis di rumahnya di Lorong Balai Panjang di sini, kurang 24 jam selepas menyamun. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian samun tersebut kira-kira pukul 7 pagi. 

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah ke lokasi dan memperoleh petunjuk hasil maklumat daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis.

“Sepasukan D9 terdiri daripada dua orang pegawai dan anggota telah menyerbu sebuah rumah di Lorong Balai Panjang dan menangkap suspek yang berusia 37 tahun kira-kira pukul 1 petang, hari sama. 

“Hasil soal siasat, suspek mengakui telah melakukan samun tersebut dan menggunakan wang dicuri berjumlah RM95 untuk membeli dadah jenis syabu dan rokok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ujarnya, suspek juga memberikan alasan mempunyai masalah kewangan kerana tidak bekerja dan hanya mengharapkan isteri yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di Malim dekat sini.

Katanya, pihaknya turut merampas sebuah motosikal jenis Aveta RX110, sebuah topi keledar, sehelai baju lengan panjang, sebuah beg galas dan sebilah parang sepanjang 27 sentimeter beserta hulu yang dipercayai digunakan semasa kejadian tersebut. 

Tambahnya lagi, hasil saringan ujian air kencing terhadap bapa kepada empat orang anak itu turut mendapati dia positif dadah. 

“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Februari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata. 

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat,” ujarnya.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.