KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyifatkan terbitan buku bekas Peguam Negara, Tommy Thomas sebagai tidak tepat faktanya kerana buku itu mengandungi maklumat bukan daripada sumber asal.
Menurut Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad, Tommy sewajarnya meneliti terlebih dahulu setiap penulisan yang dibuat supaya tidak menimbulkan kekeliruan terhadap semua pihak.
“Kalau nak tulis mengenai Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai contoh, beliau perlu sahkan faktanya dulu. Jumpa Tun, beritahu, bincang.. bukan tulis sahaja ikut maklumat yang ada yang bukan semuanya ‘1st hand’ (sumber asal) “.
“Kadangkala, ‘1st hand’ juga, tetapi tafsiran kita mungkin tak tepat, sebab itu penting untuk sahkannya kembali,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, Tommy perlu bertanggungjawab dengan setiap tulisannya kerana ia boleh menyebabkan perbalahan dengan pihak tertentu sekali gus integiritinya sebagai bekas Peguam Negara turut hilang.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, meskipun penulisan tersebut merupakan pandangan peribadi Tommy, pihak lain yang terbabit digesa tampil menjelaskan keadaan sebenar seperti Dr. Mahathir menyatakan kebenaran tentang isu yang dibangkitkan dalam buku tersebut.
“Tindakan Tun Mahathir betul sebab dia dapat daripada ‘1st hand’ iaitu perbualan bersama Yang di-Pertuan Agong, Tun Mahathir lebih tahu apa yang berlaku dan beliau telah kemukakan fakta, namun dalam masa yang sama menghormati Tommy sebagai sahabatnya dan bekas Peguam Negara,” ujarnya.
Buku berjudul My Story: Justice in the Wilderness’ setebal 500 muka surat itu menceritakan pencapaian dan kegagalan kerajaan PH terdahulu dan antara isu utama adalah pendakwaan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho dan 1MDB, ekstradisi pendakwah kontroversi, Zakir Naik dan peletakan jawatan Dr. Mahathir.
Tommy turut mendedahkan beberapa perkara sulit yang masih tertakluk bawah undang-undang kerahsiaan negara, termasuk perbincangan dalam mesyuarat Kabinet dan urusan berkaitan jawatannya selaku Peguam Negara ketika itu.
Semalam, sumber daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberitahu sedang meneliti isi kandungan tersebut yang didakwa boleh menimbulkan kekacauan selain berunsur fitnah. Jika benar, ia mungkin diharamkan sekiranya melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
Menurut bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, pendedahan Tommy merupakan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.
Sementara itu Presiden Majlis Peguam Malaysia, Salim Bashir berkata, walaupun tindakan undang-undang diambil ke atas Tommy, ia tidak boleh menghalang karya seseorang.
“Pun begitu, kuasa menyekat oleh Menteri Dalam Negeri terhadap penjualan dan penerbitan buku itu tertakluk di bawah akta sedia ada, tetapi, ia haruslah meliputi keadaan kandungan buku berkenaan yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman awam dan keselamatan masyarakat,” katanya.
Katanya, jika kerajaan mengambil tindakan undang-undang ke atas Tommy dengan merujuk Akta 301 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, ia sudah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Bahagian II – Kebebasan Asasi untuk mengeluarkan sebarang pandangan.
Menurutnya, di bawah Akta 301 Perkara 8A (1), jika hasil penerbitan apa-apa berita disiarkan dengan niat jahat, pencetak; penerbit dan penyunting berita melakukan kesalahan dan boleh dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-dua jika sabit kesalahan.
Peguam, Lukman Sheriff Alias pula berkata, sejauh mana kebebasan bersuara diberikan, ia tetap mempunyai batasan dan jika benar Tommy melanggar OSA atau mana-mana perundangan berkaitan, tindakan susulan boleh diambil.
“Sebagai bekas penjawat awam, Tommy masih terikat dengan sekatan penyebaran maklumat yang terpakai untuk semua kakitangan kerajaan.
“Ada banyak cara lain untuk mengambil tindakan ke atas beliau. Saya bimbang jika terus mengharamkan bukunya, ia hanya mengundang persepsi negatif dan merebak kepada isu lain pula,” katanya. – UTUSAN










