Rezeki berganda penjual kelapa ketika musim panas - Utusan Malaysia

Rezeki berganda penjual kelapa ketika musim panas

ISMAIL Md. Isa menjual air kelapa di tepi jalan berhampiran pekan Balik Pulau UTUSAN /MOHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAFINA RAMLI / PIX MUHAMAD FIRDAUS AMRAN

BALIK PULAU: Musim panas dan kering yang sedang melanda sekarang ternyata membawa rezeki berganda buat peniaga air kelapa di pekan Kongsi di sini.

Daripada hanya 50 buah biji kelapa dijual sehari sebelum ini, seorang peniaga air kelapa mampu menjual sehingga 100 biji buah kelapa ketika musim panas ini.

Peniaga berkenaan, Majid Ali, 50, berkata, walaupun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaannya masih mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutama ketika musim panas.

“Keadaan cuaca memang panas ketika ini, orang ramai sentiasa datang ke gerai saya untuk mendapatkan air kelapa bagi menghilangkan dahaga.

“Saya bersyukur kerana perniagaan ini yang diusahakan bersama empat ahli keluarga yang lain berjalan lancar walaupun ketika PKP dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, fasa akhir Monsun Timur Laut dengan taburan hujan yang agak rendah menjadi penyebab kepada berlakunya cuaca panas yang dijangka hingga April ini.

Menurut Majid, perniagaan air kelapa yang diusahakannya sejak 26 tahun lalu itu sentiasa mendapat sambutan orang ramai memandangkan air kelapa yang dijual diperoleh daripada buah yang berkualiti tinggi.

”Bekalan buah kelapa ini saya ambil daripada pembekal dari Perak dan buahnya juga berkualiti tinggi.

“Air daripada buah kelapa yang ditanam di Perak lebih manis dan isinya juga tebal serta lembut, ini menjadi sebab utama kenapa pelanggan sering mendapatkan buah kelapa di sini,” katanya.

Tambah beliau, ketika pandemik Covid-19, pelanggan juga sering mendapatkan air kelapa kerana dikatakan mempunyai khasiat yang tinggi untuk menguatkan antibodi badan.

“Air kelapa sejak dahulu memang mempunyai khasiatnya yang tersendiri, sama ada berkesan atau tidak terpulang kepada individu.

“Namun apa yang penting, ketika mereka membeli minuman di gerai ini, pelanggan perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan iaitu mesti memakai pelitup muka dan jarak lebih satu meter dengan pelanggan lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya