PUTRAJAYA: Sejumlah 142,961 responden atau 67 peratus daripada kumpulan tinjauan penerimaan vaksin Covid-19 setuju menerima suntikan imunisasi itu bagi mencegah dan melindungi daripada dijangkiti wabak berkenaan.
Memberitahu Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, tinjauan Kementerian Kesihatan pada Disember lalu membuktikan rakyat yakin dan mahu mendapatkan vaksin sekali gus menolak agenda golongan antivaksin dengan fakta yang menakut-nakutkan orang ramai.
“Berdasarkan jumlah yang bersetuju itu, 95.7 peratus daripadanya yakin vaksin Covid-19 selamat digunakan dan berkesan mencegah jangkitan wabak itu.
“Sebanyak 83.3 peratus pula bersetuju mengambil vaksin kerana arahan kerajaan manakala 67.4 peratus tidak meragui bahan dalam vaksin serta 61.8 peratus menyatakan persetujuan mengambil vaksin sekalipun perlu membayar kos suntikan itu,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, hanya 16 peratus daripada 212,006 responden tinjauan itu menolak suntikan imunisasi berkenaan.
Pada masa sama, Dr. Adham berkata, sejumlah 35,356 pula atau 17 peratus menyatakan mereka tidak pasti sama ada mahu menerima atau menolak suntikan vaksin dengan 83.2 peratus daripadanya menyatakan alasan risau kesan sampingannya.
Katanya, alasan tertinggi penolakan vaksin oleh sejumlah 33,589 yang tidak bersetuju itu menyatakan mereka risau kesan sampingan selain 84.6 peratus meragui bahan dalam vaksin itu.
Beliau menjelaskan, sebanyak 76 peratus menyatakan mereka diberitahu suntikan vaksin Covid-19 boleh menyebabkan kematian.
Selain itu katanya, mereka turut berpendapat vaksin itu tidak berkesan namun hanya meliputi 62.6 peratus menyatakan sedemikian.
“Terdapat juga sebab yang menyatakan mereka tidak berisiko mendapat jangkitan yang merangkumi 47 peratus dalam kalangan tidak bersetuju itu. Maka mereka fikir tidak perlu mendapatkan vaksin,” katanya.
Kerajaan memulakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini dengan sasaran 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin itu secara percuma.
Program itu melibatkan tiga fasa iaitu fasa pertama membabitkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan yang merupakan fasa amat penting untuk melindungi frontliners dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan pelaksanannya dijadualkan tamat pada April.
Fasa kedua pula melibatkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 iaitu warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU) merangkumi kira-kira 9.4 juta orang.
Bagi fasa ketiga, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari Mei 2021 hingga Februari 2022 atau lebih awal bagi membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik secara menyeluruh.
Pemberian vaksin Covid-19 ke negara ini dijangka bermula 26 Februari melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech yang menunjukkan kadar keberkesanaan tinggi iaitu pada tahap 95 peratus. – UTUSAN










