Polis maut dilanggar pemandu mabuk hanya sempat dua minggu bergelar suami - Utusan Malaysia

Polis maut dilanggar pemandu mabuk hanya sempat dua minggu bergelar suami

BRADSON BERNARD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Anggota polis yang maut dilanggar pemandu mabuk ketika pulang bertugas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baru mendirikan rumah tangga awal Januari lalu selepas beberapa kali tertangguh akibat Covid-19.

Malah, Mendiang Lans Koperal Bradford Bernard yang berusia 28 tahun itu hanya sempat ‘berbulan madu’ bersama isterinya kira-kira dua minggu ketika pulang bercuti di kampung halaman di Penampang, Sabah baru-baru ini.

Adik mendiang, Bradson, 25, berkata, mendiang pulang menziarahi keluarga dan berjumpa isterinya, Tracyla Josephine Thimoty, 24, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dan kembali bertugas pada 3 Februari lepas.

“Abang pulang ke kampung menghabiskan cutinya di sana hampir dua minggu dan dia ada maklumkan yang akan bertugas mengawal keselamatan di kawasan PKPD di Penjara Simpang Renggam.

“Dua hari sebelum kejadian saya ada berhubung dengannya dan kami hanya bertanyakan khabar dan berbual perkara biasa sahaja. Itu kali terakhir kami berhubung sebelum dia pergi untuk selama-lamanya,” katanya di sini, hari ini.

Bradson yang bertugas sebagai Pegawai Kastam di Johor Bahru ditemui pada majlis penghormatan terakhir kepada mendiang abangnya yang turut dihadiri Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Dewan Terbuka Cawangan Pengangkutan IPD Kluang, hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan Bradford yang menunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki mabuk di Jalan Kluang-Teck Wah Heng selepas menamatkan tugas di PKPD Penjara Simpang Renggam.

Tambah Bradson, sekiranya tiada larangan rentas negeri atau daerah mereka akan sekali-sekala bertemu memandangkan hanya mereka berdua bekerja di semenanjung manakala ahli keluarga lain berada di Sabah.

Katanya, jenazah mendiang akan diterbangkan ke Sabah menggunakan pesawat awam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada pagi esok.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau suspek yang terlibat dalam insiden kemalangan ketika di bawah pengaruh alkohol.

“Suspek yang ditahan berusia 58 itu telah disahkan berada dalam pengaruh alkohol dan mempunyai satu rekod lampau dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan ditahan reman selama empat hari sehingga selasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya