KUALA LUMPUR: Lebih 50 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama dalam perkhidmatan bukan keperluan utama bakal gulung tikar kerana tiada daya tahan untuk meneruskan perniagaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh hampir dua bulan dan akan berakhir 18 Februari ini.
PKS membentuk 90 peratus perniagaan di negara ini dan sektor bukan keperluan utama dilarang menjalankan perniagaan dalam tempoh berkenaan.
Unjuran itu dibuat selepas beberapa pertimbangan antaranya PKS terjejas aliran tunai perniagaan, kekurangan modal, kos operasi meningkat termasuk kekurangan penawaran dan permintaan.
Ini berikutan majoriti pemegang taruh PKS sudah menerima impak sejak awal pelaksanaan PKP dalam beberapa fasa iaitu PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB) sehinggalah PKP2.0.
Pakar ekonomi, Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menyarankan agar kerajaan membenarkan sektor-sektor bukan keperluan utama untuk beroperasi semula.
“Mereka yang terjejas seperti kedai gunting rambut mesti dibenarkan beroperasi tetapi melalui pemantauan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Walaupun kedai gunting rambut tidak tergolong dalam kategori yang utama, kita tidak boleh menafikan ia masih menjadi keperluan orang ramai. Mudah sahaja, kalau mereka tidak mengikut SOP yang ada, kenakanlah denda lebih tinggi kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin, kerajaan memberi jaminan tidak akan menutup sepenuhnya sektor ekonomi ketika pelaksanaan PKP bagi mengelakkan kesan lebih buruk terhadap masyarakat yang hilang sumber pendapatan.
Bagaimanapun, operasi tersebut hanya dibenarkan untuk beberapa sektor yang perlu manakala kedai pakaian, dobi layan diri, tukang gunting rambut dan salon rambut, spa dan pusat refleksologi, pusat karaoke dan pawagam tidak boleh beroperasi.
Senada dengan Abu Sofian, pakar ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, golongan PKS tiada pilihan selain menggunakan pendekatan baharu bersifat perkhidmatan keperluan utama untuk menampung kos-kos tetap mereka.
“Macam tukang gunting rambut, sekarang ini mereka tidak boleh bekerja pada masa sama terbeban dengan kos-kos seperti sewaan kedai, bangunan, upah pekerja dan sebagainya.
“Untuk mengelakkan daripada ‘gulung tikar’, adalah sedikit membantu jika mereka mengambil insiatif menjalankan perkhidmatan pergi rumah ke rumah, tetapi, saya tidak rasa mereka boleh bertahan untuk menampung kos yang lebih besar,” katanya. – UTUSAN










