Pintar beroperasi Ahad ini, bantu PdPR - Utusan Malaysia

Pintar beroperasi Ahad ini, bantu PdPR

PUSAT Internet Akses Rakyat (Pintar) Paya Keladi di Kuala Terengganu antara 20 yang akan dibuka semula di tujuh daerah mulai Ahad ini bagi menyokong sesi PdPR pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Golongan pelajar yang berdepan masalah mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) boleh memanfaatkan kemudahan Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) yang akan dibuka semula di tujuh daerah mulai Ahad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, bagi fasa pertama, sebanyak 20 daripada 37 pusat sehenti komuniti itu dibenarkan beroperasi kembali sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Katanya, bagi daerah Besut, lokasi itu ialah di Pengkalan Kubur, Kuala Besut, Kota Putera, Jertih, Padang Luas, Hulu Besut dan Seberang Kastam manakala di Setiu (Permaisuri, Guntung Luar dan Batu Rakit), Kuala Terengganu (Durian Burung dan Paya Keladi) di samping Kuala Nerus (Teluk Ketapang, Bukit Tunggal dan Teluk Pasu).

Menurutnya, di Hulu Terengganu pula di Kuala Berang dan Manir diikuti Marang (Alor Limbat dan Rhu Rendang) serta Dungun (Paka).

“Operasi Pintar dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ketat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan hanya lima pelajar dibenarkan menggunakan kemudahan tersebut dalam satu-satu masa bergantung kepada keluasan.

“Pelajar yang ingin menggunakan perkhidmatan Pintar di lokasi masing-masing perlu membuat temu janji terlebih dahulu dengan pegawai eksekutif maklumat (EIO) bertugas menerusi Facebook Pintar atau menghubungi pusat yang ingin dikunjungi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN