Pesalah ingkar SOP turun lagi kepada 253 individu - Utusan Malaysia

Pesalah ingkar SOP turun lagi kepada 253 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam turun lagi untuk hari kedua berturut-turut.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 253 ditahan semalam berbanding 321 yang berjaya diberkas kelmarin dan 509 individu dicatatkan pada Ahad lalu.

“Daripada jumlah itu, 231 dikompaun manakala 22 lagi direman dengan kes paling tinggi ialah gagal sedia alat rekod butiran diri iaitu sebanyak 72,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ini diikuti tiada memakai pelitup muka (61), aktiviti perjudian (52), merentas kawasan tanpa kebenaran (37), tiada jarak fizikal (21), premis beroperasi lebih masa (6) dan lain-lain (1).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 72,547 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,483 pasukan di seluruh negara.
 
Ismail Sabri menambah, 15,347 anggota itu semalam memantau 6,119 restoran, 4,607 pasar raya, 4,357 bank, 3,661 rumah ibadah, 2,502 penjaja, 2,140 pasar awam dan 1,664 kilang.

Turut dipantau tambah beliau lagi, ialah sejumlah 1,682 tempat riadah selain 1,290 terminal pengangkutan darat, 278 terminal pengangkutan air dan 137 terminal pengangkutan udara.

Seramai enam pendatang asing tanpa izin (PATI) juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng serta enam diusir bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.

“Sebanyak tujuh kenderaan darat berjaya dirampas selain 87 bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan perairan negara menerusi lima aktiviti penglihatan,” tegas beliau.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 502 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.
 
Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 81 operasi sanitasi awam dilakukan di negara ini semalam yang meliputi 29 zon merah, 10 zon jingga, sembilan zon kuning dan satu zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 434 anggota bomba selain 210 anggota pihak berkuasa tempatan dan 26 dari pelbagai agensi lain dengan penggunaan 67 jentera bomba.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 625 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
 
“Sejumlah 130,115 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 76 buah hotel serta 13 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 689 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 121,525 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 543 peruncit, 158 pemborong dan 32 pengilang.
 
Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 1,495 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan cuma tiga premis diberikan nasihat kerana didapati kurang mematuhi peraturan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya