Perkhidmatan bas sekolah, ekspres tinggal `nyawa-nyawa ikan' - Utusan Malaysia

Perkhidmatan bas sekolah, ekspres tinggal `nyawa-nyawa ikan’

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua menjejaskan pengusaha bas ekspres.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkhidmatan bas sekolah dan bas ekspres kini disfatkan dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula buat kali kedua pada 13 Januari lalu.

Kesannya, lebih 30 peratus pengusaha bas sekolah meninggalkan industri itu, menjual kenderaan yang menjadi sumber pendapatan mereka dan menceburi bidang lain.

Malah, kira-kira 3,000 pemandu bas ekspres terpaksa diberhentikan kerja kerana tidak ada penumpang sejak kerajaan melarang rentas negeri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, pengusaha bas sekolah sudah berhabis beribu-ribu ringgit sebelum sekolah dibuka pada 20 Januari lalu, namun mereka kehilangan pendapatan serta-merta disebabkan PKP.

Katanya, kos untuk mengusahakan van sekolah melebihi RM2,000 manakala kos untuk mengusahakan bas sekolah melebihi RM3,000.

“Kami sudah keluar duit untuk penyelenggaraan, bayar insurans, cukai jalan namun apabila PKP semula dan sekolah ditutup, kami tiada pendapatan untuk tebus kembali duit yang dibelanjakan sebelum ini.

“Ada yang terpaksa jual bas dan buat bisnes lain, ada yang kekal dalam industri bas sebab terikat dengan perjanjian sewa beli, ada yang sampai berhutang dengan ah long dan ada yang terpaksa pajak gadai barang yang mereka ada,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Ashfar Ali berkata, rata-rata pengusaha bas ekspres sedang bergelut dengan hutang kerana mereka tidak mempunyai pendapatan ketika ini.

“Industri bas ekspres sememangnya tenat. Syarikat kredit tidak beri moratorium dan kami berhutang duit pinjaman, nak jual harta pun tiada siapa nak beli, malah tiada siapa nak naik bas sekarang ini kerana takut kena Covid-19.

“Hari-hari kami digertak, mereka mahu tarik balik bas kami, tapi apa yang kami boleh buat, sudah pelbagai rayuan dibuat dan memorandum yang kami hantar kepada kerajaan, tiada siapa pun yang datang membantu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×