Perangi golongan antivaksin, ambil tindakan undang-undang - Utusan Malaysia

Perangi golongan antivaksin, ambil tindakan undang-undang

SEORANG petugas sebuah syarikat farmasi di China mengendalikan vaksin yang dihasilkan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan maklumat salah mengenai vaksin terutama di media sosial antara langkah tepat untuk ‘memerangi’ golongan tersebut.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil berkata, ini kerana masyarakat mudah percaya dengan fakta palsu membabitkan golongan antivaksin yang dikongsikan menerusi platform berkenaan dengan membabitkan individu ternama termasuk ‘influencer’

Katanya, kesedaran vaksin juga wajar bermula di peringkat awal terutama dalam kalangan pelajar sekolah.

“Masalah antivaksin nampak lebih jelas apabila lebih ramai orang berkongsi maklumat mengenai kesan negatif vaksin di media sosial.

“Kesedaran tentang kepentingan dan pengetahuan tentang vaksin ini sepatutnya perlu kita terapkan di peringkat sekolah lagi. Ini termasuk sejarah kemunculan vaksin itu dan kandungannya serta jenis penyakit yang memerlukan vaksin itu serta kesan sampingan vaksin,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah menyeru umat Islam menghormati fatwa yang telah diputuskan berhubung pengambilan vaksin Covid-19 di negara ini.

Dalam pada itu, Nur Hafeeza berkata, kerajaan boleh menyampaikan maklumat terperinci termasuk kesedaran dan pengetahuan lebih jelas mengenai vaksin di media sosial.

“Menerusi maklumat yang terperinci ini, kita dapat memberi kesedaran dan pengetahuan yang lebih jelas kepada masyarakat supaya mereka tidak lagi mempercayai maklumat yang tidak sahih di media sosial mengenai vaksin.

“Kita dapat lihat bahawa media sosial pada hari ini menjadi platform utama perbincangan mengenai vaksin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN