Perak sediakan RM2.7 juta bantuan makanan tengah hari calon SPM - Utusan Malaysia

Perak sediakan RM2.7 juta bantuan makanan tengah hari calon SPM

SAARANI Mohamad (tengah) menyampaikan cek untuk program 'Tuisyen Cikgu Saarani' kepada Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali di Pejabat Menteri Besar di Ipoh. - UTUSAN/GAMBAR IHSAN PEJABAT MB PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.7 juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon Sijil Pelajaran Malayia (SPM) yang menghadiri sesi persekolahan dan kelas tambahan di sekolah sebagai persiapan menjelang peperiksaan berkenaan tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, di bawah inisiatif kerajaan negeri itu, calon SPM diberikan makanan tengah hari secara harian selama 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan bermula 22 Februari ini.

“Makan tengah hari diberikan kepada pelajar yang mengikuti kelas tambahan di sekolah, jadi mereka tidak perlu pulang ke rumah selepas habis kelas pada tengah hari sebaliknya meneruskan kelas tambahan pada waktu petang kerana makanan tengah hari disediakan di sekolah.

“Dengan bantuan ini, sedikit sebanyak ia dapat membantu calon SPM membuat persediaan rapi menjelang peperiksaan dan kerajaan negeri berharap mereka akan memperoleh kejayaan.

“Selain menggunakan dana kerajaan, peruntukan tersebut turut meliputi sumbangan kewangan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) negeri iaitu Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP),” katanya dalam sidang akhbar pada pelancaran program ‘Tuisyen Cikgu Saarani’ secara dalam talian di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Pengarah Jabatan Pendidikan Perak, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya