Pekerja asing disaring positif turun drastik kepada 28 orang - Utusan Malaysia

Pekerja asing disaring positif turun drastik kepada 28 orang

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah merekodkan kenaikan dua hari berturut-turut, jumlah pekerja warga asing yang positif setelah saringan Covid-19 di seluruh negara semalam menurun.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, angka direkodkan Kementerian Sumber Manusia ialah 28 orang berbanding 299 orang.

“Pihak kementerian memaklumkan sejumlah 7,003 pekerja warga asing sudah jalani saringan wajib tersebut di seluruh negara,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Secara kumulatif jelasnya, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 312,623 individu telah selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 13,533 majikan.

Katanya, daripada jumlah itu, cuma 6,093 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan manakala selebihnya iaitu seramai 306,530 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,268 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari, ujian yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu turut meliputi kepada baki sembilan negeri dan juga Putrajaya.0

Sebelum itu katanya, arahan tersebut hanya melibatkan pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah serta Kuala Lumpur dan Labuan.

Keperluan saringan ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau Kementerian Sumber Manusia.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya Perkeso.

Kementerian Sumber Manusia menetapkan tempoh akhir sehingga 28 Februari ini kepada semua majikan di seluruh negara melakukan saringan untuk pekerja asing digajikan mereka.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya