Operasi kurier J&T di Seri Iskandar tidak terjejas - Utusan Malaysia

Operasi kurier J&T di Seri Iskandar tidak terjejas

PEKERJA J&T Express Perak yang memohon maaf kerana melempar barang pengguna dalam Facebook J&T Express Malaysia Perak baru-baru ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Operasi syarikat kurier J&T Express Malaysia (J&T) cawangan Seri Iskandar dekat Parit di sini berjalan seperti biasa dan tidak terjejas dengan isu video tular satu rakaman pekerja syarikat kurier itu membaling bungkusan pelanggan baru-baru ini.

Pengarah Operasi J&T Seri Iskandar, Sharul Abd. Rahman berkata, operasi penghantaran bungkusan dan kiriman dokumen di J&T Cawangan Seri Iskandar di Taman Maju dijalankan mengikut prosedur sedia ada serta penerimaan pesanan pelanggan di premis.

Menurutnya, bagaimanapun jumlah kiriman dan penghantaran sedikit menurun berbanding bulan lalu antaranya berikutan penyusutan belian atas talian dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Cawangan ini hanya menerima bungkusan dan dokumen sahaja, manakala penghantaran dilakukan oleh petugas yang dilantik pihak J&T.

“Disebabkan itu berlaku juga kelewatan penghantaran barang dan kiriman kepada pelanggan tetapi perkara itu dapat diselesaikan oleh pihak pengurusan J&T,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Premis J&T di Taman Maju, Seri Iskandar  adalah milik Koperasi Usahawan Bersatu Ipoh Perak Berhad (Kopubi) dan merupakan satu-satunya koperasi di Malaysia yang menjalankan perniagaan perkhidmatan penghantaran barang ekspres atau kurier.

Ia dikendalikan oleh dua petugas bagi menawarkan perkhidmatan penghantaran barang, dokumen atau surat, khidmat pelanggan VIP dan khidmat pelanggan Shopee.

Menurut Shahrul, perkhidmatan J&T itu juga memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Bandar Seri Iskandar, Tronoh, Siputeh dan Bota apabila boleh datang dan menggunakan perkhidmatan penghantaran ekspres yang disediakan untuk menghantar barang atau dokumen ke seluruh negara selain Brunei dan Singapura.

Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 15 saat pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan yang dikatakan berlaku di sebuah premis J&T di negeri ini dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.

Susulan video tular tersebut, pihak pengurusan J&T Express Perak dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook pada Ahad lalu memohon maaf atas tindakan kakitangannya mencampak barang-barang pelanggan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya