fbpx

3 Disember 2021, 2:33 pm

  TERKINI

Menteri Pertahanan terima suntikan vaksin Covid-19

ISMAIL Sabri Yaakob menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech sempena Program Vaksinasi Peringkat Kementerian Pertahanan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi individu pertama daripada Kementerian Pertahanan yang menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech sempena Program Vaksinasi Peringkat Kementerian Pertahanan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, hari ini.

Beliau menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan sekitar jam 9.30 pagi tadi oleh vaksinator Koperal Siti Maliah Sheikh Alwi.

Turut menerima vaksin adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha, Datuk Seri Muez Abd. Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affandi Buang, serta panglima-panglima perkhidmatan dan pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan.

Ismail dalam kenyataan berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima sebanyak 10,530 dos daripada 84,240 dos vaksin bagi 42,120 anggota untuk Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Vaksin ini disimpan di empat pusat simpanan Vaksin ATM iaitu di 93 Depoh Perubatan dan Pergigian, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Kuala Lumpur, Hospital Angkatan Tentera Terendak Melaka, Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut Perak dan Hospital Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Sabah.

“Sebuah lagi Pusat Simpanan Vaksin ATM iaitu Rumah Sakit Angkatan Tentera Kem Penrissen Kuching Sarawak akan menerima bekalan vaksin pada 1 Mac ini,” katanya.

Pada masa sama, Ismail berkata kumpulan sasar pertama penerima vaksin adalah anggota Perkhidmatan Kesihatan ATM yang terlibat secara aktif dalam mengesan dan merawat penyakit Covid-19 serta yang terlibat dalam penugasan program vaksinasi Covid-19.

Katanya, kumpulan sasar pertama juga akan melibatkan anggota ATM yang sedang dan akan bertugas di kawasan-kawasan operasi seperti Op Penawar, Op Benteng, Misi Luar Negara di UNIFIL dan Pasukan Pemerhati Antarabangsa di Mindanao di bawah Tentera Darat, Laut dan Udara.

“Vaksin ini juga akan diberikan kepada Kumpulan Pemerintahan Strategik dan Operasi di Markas ATM, Kementerian Pertahanan, Markas Angkatan Bersama, Markas-markas Formasi Tentera Darat, Laut dan Udara terutamanya bagi mereka yang bertugas di bilik operasi dan bilik komunikasi markas-markas tersebut.

“Ia juga akan melibatkan National Task Force (NTF) yang bertanggungjawab mengendalikan Op Benteng katanya.

Selain itu, Ismail berkata pemberian vaksin Fasa 1 ini juga akan disasarkan kepada pegawai dan anggota ATM yang terlibat secara langsung dalam operasi aset pertahanan strategik negara.

“Ini seperti pesawat pejuang, pesawat pengangkut, kapal selam dan kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), juruterbang helikopter Tentera Diraja Malaysia (TDM), TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), anggota Pasukan Khas, anggota yang mengendalikan aset pertahanan udara dan aset-aset khusus yang lain yang tidak boleh dikendalikan oleh mana-mana pegawai dan anggota lain yang tidak dilatih khas.

“ATM telah menjadualkan pemberian vaksin ini bermula 25 Februari lalu terutamanya bagi para petugas vaksinasi Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera.

Sejak semalam seramai 230 penerima telah divaksinasikan dengan dos pertama dari Vaksin jenis Cominarty keluaran Pfizer Biontech,” katanya.

Ismail juga memaklumkan seramai 14 orang pegawai dan anggota ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan terlibat dengan Misi Pemantau Antarabangsa Mindanao turut menerima suntikan vaksin dan akan berlepas ke Mindanao selepas menerima suntikan dos kedua pada Mac hadapan.

“Di samping itu seramai 40 orang anggota Kumpulan Wanita Kedua ATM bagi Misi UNIFIL akan menerima vaksin pada esok 27 Februari 2021 sebagai sebahagian daripada program pelindungan kesihatan sebelum bertugas di Lebanon.

“Untuk warga ATM yang sedang berada di Lebanon, ATM telah menerima tawaran suntikan vaksinasi daripada pihak UNIFIL,” katanya.- UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI