MAIS perkenal sistem e-Faraid - Utusan Malaysia

 MAIS perkenal sistem e-Faraid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperkenalkan sistem e-Faraid bagi umat Islam menguruskan harta pusaka dengan lebih mudah dan pantas secara dalam talian.

Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, e-Faraid MAIS itu merupakan sistem yang dibangunkan merangkumi penawaran perkhidmatan pengurusan harta pusaka, kaedah pengiraan secara faraid dan pengurusan fail serta pelaporan untuk pegawai yang mengurus.

“Ini merupakan sistem pertama dihasilkan oleh MAIS melalui bidang kuasa yang diperuntukkan mengikut Subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Menerusi e-Faraid, pengguna dibekalkan dengan Kalkulator Pengiraan Faraid atau K-Faraid yang bertujuan mendidik mereka memahami kaedah pengiraan dan pembahagian harta pusaka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, pelancaran sistem itu disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof sempena perutusan Tahun 2021 dan pelancaran video korporat MAIS menerusi sebuah aplikasi secara dalam talian.

Kata Ahmad Shahir, pengguna yang menggunakan K-Faraid hanya perlu memasukkan butiran waris dan jumlah nilaian harta pusaka peninggalan si mati.

“Hasil pengiraan kemudian akan memaparkan kadar bahagian waris bersama jumlah harta menerusi jadual pengiraan.

“Pengguna hanya perlu memilih perkhidmatan yang dikehendaki seperti permohonan bagi penebusan, pusaka tiada waris, urus pusaka dan pembelian,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya menerusi sistem khas itu akan melaksanakan pengurusan harta pusaka dengan telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada ahli waris.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan e-Faraid MAIS itu boleh melayari  laman sesawang http://efaraid.mais.gov.my/ atau menghubungi  Baitulmal MAIS di talian 03-55143773/3772 untuk sebarang pertanyaan lanjut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya