Kegiatan proses daun ketum bernilai RM25,000 ditumpaskan - Utusan Malaysia

Kegiatan proses daun ketum bernilai RM25,000 ditumpaskan

ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof (tengah) menunjukkan sebahagian rampasan ketum bernilai RM25,000 dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini, hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dan penjualan air ketum terbesar di daerah ini dengan tertangkapnya lapan lelaki dan seorang wanita di tiga serbuan berasingan di tiga buah rumah teres dua tingkat di sekitar Putra Perdana, di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, serbuan kira-kira pukul 11 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan BSJN Subang Jaya.

“Operasi berjaya menahan lapan lelaki tempatan dan sepasang suami isteri warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sepang di sini hari ini.

Wan Kamarul berkata, hasil serbuan polis di ketiga-tiga lokasi menemui sejumlah 240 kilogram (kg) daun disyaki ketum yang diisi di dalam plastik hitam dan putih dengan jumlah keseluruhan 25 plastik.

Beliau berkata, turut dirampas dalam serbuan itu ialah 152 botol bersaiz 1.5 liter yang berisi air ketum bernilai RM15,325 dan dua batang pokok ketum.

“Rampasan termasuklah tiga dapur disyaki untuk merebus daun ketum; tiga tong gas; empat periuk berkapasiti 3 kg dan 5 kg dan satu alat penimbang selain wang tunai RM12,325.

“Keseluruhan rampasan ini dianggarkan berjumlah kira-kira RM25,000,” katanya.

Beliau berkata, soal siasat mendapati kumpulan berkenaan terlibat dalam aktiviti penjualan air ketum sekitar Puchong, Subang Jaya dan kawasan sekitar sejak dua bulan lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Suspek telah menggunakan kenderaan perdagangan untuk mendapatkan bekalan daripada Perak bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Katanya, semakan mendapati, tiga daripadanya positif dadah jenis ganja, dua lagi positif syabu manakala dua lain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Lima suspek telah direman empat hari sehingga Sabtu ini dan empat lagi direman selama sehari.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya