Jangan bimbang operasi PKRC Johor - Datuk Bandar

Jangan bimbang operasi PKRC Johor – Datuk Bandar

ASMAN Shah Abd. Rahman (dua dari kanan) menerangkan sesuatu kepada Lee Jung Hyeng (dua dari kiri) sambil diperhatikan Dr. Mohd. Fathi Zaki Mohd. Zakaria (kanan) sempena majlis penyerahan sumbangan peralatan di PKRC, Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Masyarakat di bandar raya ini tidak perlu bimbang dengan kewujudan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Johor di Stadium Tertutup Pasir Gudang yang akan mula beroperasi hari ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Asman Shah Abd. Rahman berkata, pelbagai langkah keselamatan telah diambil untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

Jelasnya, stadium tertutup berkenaan dan kawasan sekitarnya juga telah ditutup untuk kegunaan orang awam.

“Pelbagai langkah keselamatan telah diambil untuk memastikan bukan sahaja kesejahteraan petugas dan pesakit yang ditempatkan di PKRC ini, tetapi juga penduduk sekitar.

“Antaranya termasuklah penutupan laluan dan kawasan sekitar yang akan dikawal selama 24 jam sehari oleh pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan sempena penyerahan sumbangan peralatan oleh Lotte Chemical Titan Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah dan Komander PKRC Johor, Dr. Mohd. Fathi Zaki Mohd. Zakaria dan Naib Presiden Eksekutif Lotte Chemical Titan Sdn. Bhd., Lee Jung Hyeng.

Kawasan sekitar stadium tertutup berkenaan kebiasaannya digunakan oleh penduduk setempat untuk melakukan aktiviti riadah seperti berjoging dan berbasikal.

PKRC Johor yang bakal beroperasi sepenuhnya bermula hari ini mampu menempatkan sehingga 1,200 pesakit positif Covid-19 bagi kategori 1 dan 2, iaitu mereka yang diklasifikasi sebagai tidak bergejala dan tidak berisiko tinggi.

Seramai kira-kira 100 orang pesakit Covid-19 daripada seluruh Johor dijangka akan mula ditempatkan di PKRC itu pada hari ini.

Sementara itu, Asman Shah memberitahu, pihaknya mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dalam memastikan operasi PKRC Johor lancar dan mencapai matlamatnya.

“Kami mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak khususnya melibatkan peralatan keperluan seperti kelengkapan penjagaan diri, mesin basuh dan mesin pengering.

“Sumbangan itu akan dapat membantu pihak berkuasa memastikan kesejahteraan dan kesihatan pesakit yang ditempatkan di PKRC ini terjamin sepanjang tempoh 10 hari mereka menjalani kuarantin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.