Ikut pentadbiran daerah kerajaan, bukan sempadan daerah polis - Utusan Malaysia

Ikut pentadbiran daerah kerajaan, bukan sempadan daerah polis

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemandu kenderaan diberi jaminan tidak akan dikenakan kompaun jika merentasi sempadan daerah polis kerana apa yang dilarang ialah merentasi daerah pentadbiran kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjelaskan isu itu berkata, beliau sudah berbincang dengan pihak polis berhubung kekeliruan takrif rentas daerah tersebut.

“Kita tidak pernah pun menggunakan zon had daerah polis selama ini, sebaliknya ialah sempadan pentadbiran daerah kerajaan yang lazimnya diketuai oleh seorang pegawai daerah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini bagi mengulas rungutan pemandu yang terkeliru dikompaun khususnya di Lembah Klang kerana merentasi daerah polis.

Kes itu malah tular melalui media sosial apabila ada mendakwa dikenakan kompaun di sekatan jalan raya (SJR) oleh pihak polis walaupun masih lagi dalam daerah pentadbiran kerajaan sama.

Ini terutama di Selangor apabila ada daerah yang merangkumi beberapa lagi daerah polis berbeza, kerana negeri itu hanya mempunyai sembilan daerah tetapi 16 daerah polis yang berlainan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan bahawa pergerakan dalam daerah yang sama adalah dibenarkan namun jika telah pun dikompaun atas kes itu, mereka boleh mengemukakan rayuan.

“Sila berurusan di Pejabat Kesihatan Daerah mengikut lokasi daerah kompaun yang dikeluarkan dan boleh dipertimbangkan untuk diturunkan hingga serendah RM50 atau dimansuhkan,” katanya.

Kadar RM1,000 yang dikenakan itu ujar beliau ialah paras paling maksimum ditetapkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 namun ia masih boleh dibuat rayuan.

Ditanya mengenai isu ibu bapa yang perlu merentas daerah atau negeri untuk menghantar anak ke sekolah mulai awal bulan depan, beliau akan berbincang dengan pihak Kementerian Pendidikan.

Beliau bahkan memahami kebimbangan mereka yang perlu merentasi banyak SJR dan terpaksa bersusah payah memohon kebenaran daripada balai polis bagi tujuan berkenaan terlebih dahulu.

“Insya Allah, saya akan bawa isu ini kepada pihak Kementerian Pendidikan agar ada surat guru besar untuk ibu bapa yang kena merentas diberi kelonggaran melalui SJR kelak,” kata Ismail Sabri.

Kaedah itu jelasnya, sama seperti pekerja yang ada surat majikan untuk merentas kawasan dan amat perlu terutama apabila ibu bapa hendak menjemput anak balik dari sekolah di daerah berbeza.

Pada ketika ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan ibu bapa menghantar anak yang menduduki peperiksaan awam dengan syarat mereka kena memakai pakaian seragam sekolah.

Namun, timbul kekeliruan dalam kalangan ibu bapa untuk murid yang bukan calon peperiksaan awam kerana sesi persekolahan baharu akan dibuka secara berperingkat bermula pada 1 Mac depan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.