fbpx

6 Mac 2021, 2:31 pm

  TERKINI

Ikatan kekeluargaan tetap harmoni

MUHAMMAD Amann Teoh Man Chun bersama isteri, Nurrita Ainni dan dua orang anaknya, Alicia Teoh (kiri) dan Cecilia Teoh (kanan) menggaul Yee Sang ketika meraikan majlis makan besar sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Chef Aman Teoh (C.A.T) Wok Street Food, Bandar Baru Bangi, Selangor semalam. – UTUSAN/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tradisi makan besar pada malam perayaan Tahun Baharu Cina masih diteruskan dengan penuh kesederhanaan bersama ahli keluarga terdekat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Seorang mualaf, Muhammad Amann Teoh Man Chun, 53, berkata, dia sangat bersyukur masih diberi peluang bersama dengan ahli keluarganya untuk menyambut perayaan yang penuh bermakna itu.

Walaupun Muhammad Amann memeluk Islam sejak 2013, ia tidak pernah menghalangnya untuk bersamasama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan ahli keluarganya.

Katanya, selain isteri, majlis makan besar kali ini disertai dua anak perempuannya menerusi perkahwinan pertama yang diadakan di restorannya di Bangi, Selangor dekat sini.

“Saya masih berpeluang bersama dua anak perempuan saya yang masing-masing sudah dewasa dan menganut agama lain serta isteri saya yang beragama Islam untuk majlis makan besar ini.

“Tahun-tahun terdahulu, saya sering menjemput kawankawan Cina Muslim saya untuk bersama-sama pada malam acara makan besar. Tetapi bagi mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan, saya tidak menjemput sesiapa kecuali ahli keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Muhammad Amann memberitahu, dia sering menjemput rakan mualafnya kerana mereka turut melalui pengalaman sama iaitu penghijrahan menjadi penganut agama Islam menerima tentangan keluarga yang kurang senang dengan perubahan tersebut.

Selepas lebih tujuh tahun memeluk Islam, ibu kepada Muhammad Amann masih sukar menerima penghijrahan dirinya namun perkara tersebut membuatkannya sering bersyukur dengan setiap masa yang dapat
diluangkan dengan ahli keluarga terutama dua anak perempuannya.

Kedua-dua anak perempuan serta beberapa orang sepupu Muhammad Amann tidak mengasingkan dirinya walaupun mereka menganut agama yang berlainan malah menghormati keputusan yang diambil olehnya untuk menjadi seorang Muslim.

Jelasnya, tradisi makan besar bukanlah suatu perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam kerana ia adalah satu malam yang mengumpulkan semua ahli keluarga.

“Walaupun sudah berhijrah tetapi itu tidak menghalang saya untuk terus menyambut Tahun Baharu Cina.

“Tradisi makan besar adalah satu budaya yang diamalkan oleh kaum Cina untuk mengumpulkan ahli keluarga supaya dapat makan bersama,” katanya.