Ibu tunggal bimbang nasib 7 anak tak dapat ikuti PdPR - Utusan Malaysia

Ibu tunggal bimbang nasib 7 anak tak dapat ikuti PdPR

WEE Ka Siong (dua dari kiri) menyampaikan telefon bimbit kepada salah seorang anak Umi Naza Osman bagi memudahkan mereka mengikuti PdPR di Kampung Rahmat, Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Tujuh beradik terpaksa berkongsi sebuah telefon bimbit bagi mengikuti sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) hingga menyebabkan mereka tertinggal mata pelajaran yang diajar guru.

Ibu mereka, Umi Naza Osman, 36, berkata, keadaan itu menyebabkan dia risau dengan masa depan anak-anaknya yang kini berusia empat hingga 17 tahun dalam pelajaran mereka.

“Sejak berpisah dengan suami kira-kira dua tahun lalu, kehidupan kami lapan beranak sudah pun terumbang-ambing.

“Anak bongsu saya yang baru masuk tabika pun ada tugasan diberi melalui WhatsApp manakala yang lain tidak dapat menyertai kelas dalam talian termasuk menerusi aplikasi Google Meet kerana kekangan peranti,” katanya ketika ditemui di Kampung Rahmat, Ayer Hitam di sini, hari ini.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong yang turut menyampaikan sumbangan telefon bimbit bagi memudahkan kanak-kanak itu mengikuti PdPR.

Sumbangan itu, ujar Umi Naza sangat bermakna kepada mereka kerana anak-anaknya boleh fokus dalam pelajaran dan seterusnya mampu mengubah nasib keluarganya suatu hari nanti.

Katanya, dia tidak mampu untuk membeli telefon bimbit tambahan kerana masalah kesempitan hidup dialami walaupun menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,000 untuk anak-anaknya.

“Saya bersyukur kerana nilai bantuan kepada kanak-kanak dari RM450 yang diterima pada Oktober tahun lalu sudah dinaikkan menjadi RM1,000 pada Januari lepas. Maka, dapatlah saya gunakan duit itu untuk menampung keperluan hidup anak-anak terutama dalam soal pelajaran mereka,” katanya.

Ujarnya, bagi menampung hidup juga, dia cuba menjalankan perniagaan kecil-kecilan iaitu menjual kerepek pisang dan ubi.

Tambahnya, dia turut meminjam sebanyak RM3,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada Disember lalu untuk membuka sebuah gerai menjual burger di depan rumahnya.

Orang ramai yang bersimpati dan ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga itu boleh menghubungi talian 013-958 5875. -UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya