PUTRAJAYA: Rayuan Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) hampir 52,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM155 juta.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, susulan itu pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan semasa permohonan rayuan itu pada Jumaat ini.
Menurut beliau, semakan status kelulusan boleh dibuat mulai esok melalui portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.
“Mengambil kira GKP 1.0 dan GKP 2.0 termasuk rayuan yang diluluskan, jumlah keseluruhan penerima GKP adalah hampir 900,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM2.7 bilion,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tengku Zafrul berkata, penambahan peruntukan bagi GKP pada tahun ini telah diumumkan dalam Belanjawan 2021 iaitu bantuan kewangan sebanyak RM1,000 melalui GKP Tambahan, yang akan diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah.
Katanya, ia dijangka memanfaatkan 50,000 PKS mikro dengan peruntukan sebanyak RM50 juta. – UTUSAN ONLINE