Forum Perdana Ehwal Islam paling ramai panel, kali ini bincang isu vaksin - Utusan Malaysia

Forum Perdana Ehwal Islam paling ramai panel, kali ini bincang isu vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Forum Perdana Ehwal Islam paling ramai panel, kali ini bincang isu vaksin

PUTRAJAYA: Buat julung kali dalam sejarah, program bicarawara agama kegemaran ramai, Forum Perdana Ehwal Islam di TV1 RTM pada kali ini muncul dengan paling ramai ahli panel.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, rancangan itu akan membariskan sembilan panel serentak.

“Malahan, program mingguan itu juga buat kali pertama akan menampilkan dua moderator sekali gus bagi bincang isu panas yang bertajuk ‘Vaksin: Cegah Sebelum Kalah’,” kata beliau.

Rancangan popular anjuran Jakim itu bakal disiarkan secara langsung selama sejam bermula 9 malam dan diadakan sempena dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Antara panelnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim.

Tidak ketinggalan, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.

Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Arif Mohd. Kashim.

“Juga ditampilkan sebagai ahi panel ialah pakar perubatan keluarga tempatan, Dr. Suhazeli Abdullah dan pendakwah mualaf terkenal, Firdaus Wong Wai Hung,” tambah Abdul Aziz lagi.

Sementara dua moderator terlibat ujar beliau, ialah Pegawai Jakim sendiri yang tidak asing lagi, Mohd. Hariri Mohamad Daud dan Pegawai Jabatan Agama Islam Selangor, Rizal Ramli.

Beliau menerusi kenyataan itu berharap forum ini akan dapat memberi kefahaman kepada seluruh masyarakat mengenai PICK yang baru dilancarkan Perdana Menteri di sini semalam.

Inisiatif vaksinasi nasional terbesar dalam sejarah negara itu jelasnya, antara usaha ikhtiar pihak kerajaan selaras salah satu prinsip Maqasid Syariah iaitu pelihara nyawa umat manusia.

“Jakim berbesar hati menjemput semua rakyat Malaysia merentasi agama, bangsa dan peringkat usia untuk bersama-sama menonton program yang bermanfaat ini,” kata Abdu Aziz.

Forum Perdana Ehwal Islam mula disiarkan setiap Khamis di saluran TV1 sejak awal 1980-an serta menjadi tumpuan umat Islam termasuk di Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya