Di mana adab rakyat hormat pemimpin negara?  - Utusan Malaysia

Di mana adab rakyat hormat pemimpin negara? 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan mana-mana individu membuat cercaan berhubung lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Jakarta Jumaat lalu menyerlahkan kedangkalan fikiran dan hilangnya adab menghormati pemimpin negara.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Profesor Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, perkara itu tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana boleh merosakkan sistem kemasyarakatan negara dengan kebebasan tanpa batasan yang seakan-akan tidak mempunyai sistem kawalan. 

Justeru, katanya, kerajaan digesa mengambil tindakan sewajarnya bagi memberikan kesedaran kepada rakyat berhubung implikasi yang mereka terpaksa hadapi sekiranya tidak mengawal amarah dan emosi terutama ketika memberikan komen-komen dalam laman sosial.  

“Kita mahukan supaya semua lapisan masyarakat dapat menjiwai Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan yang seharusnya menjadi teras utama rakyat negara ini.  

“Oleh itu, kami ingin menasihatkan agar para netizen supaya lebih berhemah dan menjaga setiap perkataan yang diungkapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penjelasan lawatan Perdana Menteri ke Jakarta itu telah diperincikan Pejabat Perdana Menteri bahawa ia merupakan lawatan penting bagi mengukuhkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin di antara Malaysia dan Indonesia merangkumi pelbagai perkara utama termasuklah usaha sama menangani Covid-19. 

Katanya, ia bukanlah lawatan peribadi mahu pun untuk bercuti sebaliknya menjalankan tugas negara yang  sudah tentunya menjadi tanggungjawab pemimpin demi menjaga nama baik negara ini. 

“Pihak pejabat Perdana Menteri juga telah menjelaskan dengan begitu terperinci sekali mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan lawatan tersebut yang melibatkan jumlah rombongan minimum, menggunakan pesawat kerajaan, ahli rombongan tidak dibenarkan ke tempat-tempat lain, melakukan ujian saringan, kuarantin dan sebagainya yang berkait dengan pencegahan penularan wabak Covid-19.  

“Malangnya terdapat beberapa golongan yang tidak bertanggungjawab memberikan komentar yang mencemarkan imej negara dengan menggunakan perkataan-perkataan yang sangat memalukan,” katanya. 

Beliau memberitahu, terdapat juga contoh lain apabila warganet  seakan tidak menghormati Institusi Istana Negara apabila dengan beraninya ‘menyerang’ pentadbiran kerajaan melalui Facebook rasmi Istana Negara. 

Katanya, ini memberi indikasi bahawa mereka tidak menghormati kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya