PUTRAJAYA: Penghantaran pulang 1,200 warga Myanmar yang akan dilaksanakan pada 23 Februari ini, tidak membabitkan pemegang kad UNHCR atau etnik Rohingya.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, proses penghantaran pulang warga Myanmar menggunakan kapal tentera laut negara terbabit hanyalah sebahagian daripada proses biasa pengusiran warga asing di dalam depot imigresen.
Katanya, warga Myanmar yang terlibat dalam program ini terdiri daripada mereka yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Antaranya ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan peraturan imigresen – salah guna pas lawatan.
“Sejak Januari sehingga 31 Disember tahun lalu, seramai 37,038 warga asing diusir terdiri daripada warga Indonesia 17,002; Bangladesh 5,450; Myanmar 3,322; Thailand 2,358; Pakistan 1,493 dan lain-lain warga asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairul Dzaimee berkata, bagi tahun 2019 pula apabila 59,114 warga asing dari pelbagai negara telah diusir pulang ke negara asal.
Katanya, perbezaan yang agak besar dalam jumlah warga asing yang diusir pulang antara tahun 2020 sebanyak 37,038 dan tahun 2019 sebanyak 59,114 adalah disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
“Kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing di samping turut mengurangkan jumlah penerbangan dan pengangkutan laut.
“Perkara ini telah memberikan kesan kepada proses pengusiran warga asing dari depot imigresen ke negara asal tahanan berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










