Buka 1 hektar kebun ketum di hutan simpan - Utusan Malaysia

Buka 1 hektar kebun ketum di hutan simpan

SEBAHAGIAN daripada 400 pokok ketum yang ditanam di Hutan Simpan Kekal Sungai Terah, Gua Musang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga lelaki bukan sahaja meneroka Hutan Simpan Kekal Sungai Terah, Gua Musang secara haram, malah membuka kebun ketum di atas tanah tersebut sejak kira-kira dua tahun lalu.

Difahamkan, sejumlah 400 pokok ketum gred A spesies Mitragyna speciosa telah ditanam di kawasan seluas satu hektar yang diterokai kumpulan lelaki terbabit.

Kegiatan itu terbongkar selepas ketiga-tiga mereka berusia antara 25 hingga 33 tahun ditahan kira-kira pukul 10 pagi semalam dalam Op Khazanah Siri 2/2021 Jabatan Perhutanan Kelantan yang digerakkan selepas menerima maklumat awam.

Pengarah Perhutanan negeri, Abdul Khalim Abu Samah berkata, dua suspek ditahan ketika berada dalam sebuah bangsal dipercayai sedang khayal selain terdapat peralatan untuk memasak daun ketum di situ.

Katanya, seorang lagi suspek ditahan ketika dia datang ke bangsal itu dengan menunggang sebuah motosikal.

“Dalam operasi itu, kita merampas selaras senapang angin buatan sendiri, tiga peluru hidup dan dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Honda Dream.

“Turut dirampas seunit tong gas, alat penimbang, periuk, dapur, bakul, daun ketum, satu botol berisi cecair disyaki kodein dan satu botol berisi cecair keperangan disyaki air ketum,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perhutanan Kelantan, di sini hari ini.

Kata Abdul Khalim, pemeriksaan lanjut mendapati daun ketum yang ditanam kumpulan lelaki itu dikategorikan sebagai gred A dan dijual pada harga mahal iaitu RM100 sekilogram.

“Mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan menanam dan mengedar ketum antara satu hingga dua tahun lalu dan berselindung di sebalik tanaman getah dan durian yang turut ditanam secara haram oleh pihak lain.

“Ketiga-tiga suspek dikatakan pakar menanam ketum termasuk pandai mencantum pokok-pokok dengan kaedah tut,” katanya.

Kesemua suspek dan barangan rampasan itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan ia merupakan kes pertama melibatkan tanaman pokok ketum secara haram di kawasan Hutan Simpan Kekal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 47(1) dan 81(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.