Bot utiliti tanpa angkut sisa buangan tanpa kebenaran ditahan - Utusan Malaysia

Bot utiliti tanpa angkut sisa buangan tanpa kebenaran ditahan

BOT utiliti yang mengangkut sisa buangan tanpa kebenaran ditahan Maritim Malaysia di Tanjung Piai, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot utiliti yang menjalankan aktiviti mengangkut sisa buangan tanpa kebenaran pada kedudukan 3.4 batu nautika barat Tanjung Piai di Pontian, semalam.

Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, kapal ronda Maritim Malaysia menahan bot utiliti tersebut yang berdaftar di Singapura.

“Kapal terbabit dikendalikan tiga kru termasuk nakhoda warganegara Indonesia berusia antara 32 hingga 48 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Namun pemeriksaan lanjut mendapati bot itu beroperasi tanpa lesen yang sah dan nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran menjalankan aktiviti mengangkut sisa buangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, sisa buangan yang diangkut tersebut melibatkan sampah, sisa minyak dan pelbagai lagi.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(i) kerana tiada kebenaran membawa bahan buangan daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Maritim Malaysia terus komited melaksanakan tugas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sentiasa memandang serius pematuhan undang-undang negara.

“Pengusaha atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan ditetapkan dalam melaksanakan sebarang aktiviti di perairan negara bagi mengelak tindakan lebih tegas diambil,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya