Bekas dan kakitangan AADK dituduh rasuah - Utusan Malaysia

Bekas dan kakitangan AADK dituduh rasuah

ERWAN Yahya (depan) dan Norzarenawati Osman didakwa atas tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini. - UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekas Pembantu Antidadah, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan rasuah sebanyak RM3,000 yang didakwa dilakukannya, lima tahun lalu.

Tertuduh, Erwan Yahya, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Rakan setugasnya, Norzarenawati Osman, 38, yang berdepan pertuduhan rasuah yang dilakukan secara bersama dengan Erwan turut membuat pengakuan sama.

Norzarenawati kini bertugas di AADK Daerah Kulim.

Mengikut pertuduhan pertama, Erwan didakwa memperoleh suapan RM3,000 daripada Muhammad Russul Muhammad Radzi sebagai habuan untuk melepaskan individu lain yang positif dadah jenis syabu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam kereta Proton Iswara di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani kira-kira pukul 5.30 petang, 7 Disember 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Erwan didakwa bersama Norzarenawati, Penolong Pegawai Antidadah AADK Daerah Kuala Muda bersetuju menerima suapan RM3,000 tersebut bagi tujuan sama
di sebuah rumah kosong di Bandar Puteri Jaya kira-kira pukul 3 petang, hari sama.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Fauzee Azizan yang kemudian memohon jaminan sebanyak RM20,000 ke atas Erwan sementara Norzarenawati pula, RM10,000.

Erwan yang diwakili peguam, Alias Ibrahim memohon jaminan dikurangkan kerana masalah kewangan yang dihadapi setelah diberhentikan kerja selain menghidap penyakit kencing
manis kronik.

Sementara Norzarenawati yang tidak diwakili peguam memberitahu dia merupakan ibu tunggal yang terpaksa menanggung lima anak sendirian.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 ke atas Erwan sementara Norzarenawati pula RM8,000 serta tarikh sebutan semula kes pada 17 Mac depan.

Kedua-dua tertuduh membayar jumlah jaminan dikenakan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya