Bayi hidap masalah jantung perlu bantuan - Utusan Malaysia

Bayi hidap masalah jantung perlu bantuan

HAZIQAH Hannani Hamzarul, tiga bulan menderita penyakit jantung sejak lahir dan memerlukan dana sebanyak RM80,000 untuk menjalani pembedahan segera di dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang. -UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: ‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya’.

Itu keperitan hidup yang dialami pasangan suami isteri, Hamzarul Heerman Hamdan, 42, dan Harniza Md. Haidar@Shahidan, 42, dalam membesarkan puteri bongsu mereka, Haziqah Hannani.

Sejak dilahirkan lebih tiga bulan lalu, kanak-kanak itu disahkan menghidap penyakit jantung yang rumit serta ditempatkan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU).

Ketika ini, doktor yang merawat Haziqah Hannani memaklumkan kanak-kanak itu perlu dibedah secepat mungkin dengan kos rawatan dan pembedahannya sehingga RM80,000.

Bagaimanapun sehingga kini pasangan terbabit yang kedua-duanya bekerja sebagai pegawai jaminan kualiti di sebuah kilang itu hanya mampu mengumpulkan wang tunai sebanyak RM20,000 untuk tujuan itu.

Pada masa sama, mereka juga perlu menanggung empat lagi cahaya mata yang berusia antara tiga hingga 13 tahun dengan pendapatan bersama sebanyak RM8,000.

Buntu dengan masalah kewangan tersebut, pasangan berkenaan kemudian mendapatkan bantuan One Hope Charity and Welfare di sini bagi mengumpul dana untuk rawatan dan pembedahan bayi mereka.

Menurut Pengerusi badan amal itu, Chua Sui Hui, pihaknya prihatin dengan masalah yang dihadapi pasangan terbabit dan melancarkan tabung khas untuk tujuan berkenaan.

“Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun One Hope Charity and Welfare di akaun Public Bank Berhad bernombor 3193433435 serta menghubungi talian 04-5059800, 016-4192192 atau 019-2322192 selain melayari laman sesawang, www.onehopecharity.org untuk maklumat lanjut,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya