Awang Rasau berjaya ditangkap di Felda Kertih 3 - Utusan Malaysia

Awang Rasau berjaya ditangkap di Felda Kertih 3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seekor harimau belang seberat lebih 160 kilogram yang didakwa berkeliaran akibat kecederaan pada anggota badan berjaya ditangkap di Ladang Sawit Felda Kertih 3, di sini hari ini. 

Harimau belang jantan berusia antara 14 hingga 16 tahun yang digelar ‘Awang Rasau’ itu ditangkap Jabatan Perhilitan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kira-kira pukul 11.30 pagi.

Operasi menangkap pak belang itu bermula pada pukul 8 pagi ini membabitkan kakitangan Perhilitan Dungun dan Kemaman dengan diketuai Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak.

Penolong Pegawai Hidupan Liar Kanan NWRC, Nik Mohd. Zamani Awang berkata, pihaknya mengambil masa hampir empat jam untuk menangkap harimau berkenaan selepas menerima aduan daripada orang awam mengenai penemuan haiwan liar itu di kawasan ladang, petang semalam.

Katanya, Awang Rasau ditangkap kira-kira tiga kilometer dari lokasi ia dijumpai penduduk. 

“Ketika dijumpai, harimau belang itu cuba untuk menyelamatkan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan di beberapa bahagian badan harimau itu dari perut dan belakang termasuk kakinya, dipercayai ditembak oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di Pejabat Perhilitan Dungun.

Nik Mohd. Zamani berkata, kecederaan yang dialami mengakibatkan harimau belang itu hanya bergantung kepada kaki hadapan untuk berjalan.

Dia bagaimanapun tidak menolak kemungkinan harimau itu merupakan haiwan yang dipercayai menyerang ternakan milik penduduk yang pernah dilaporkan media, sebelum ini. 

Sehubungan itu, katanya, Awang Rasau dibawa balik ke NWRC petang ini untuk menerima rawatan.

Terdahulu, tular di laman sosial dua video berdurasi 0.29 saat dan 0.54 saat yang memaparkan seekor harimau yang cedera di bahagian kaki ditemui di Ladang Felda Kerteh 3. -UTUSAN 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya