fbpx

Atlet sukan lasak bantu cat Jambatan Tuanku Syed Putra

PEMANDANGAN warna warni Jambatan Tuanku Syed Putra di Kampung Seberang Ramai. Kuala Perlis.

KANGAR: Sekumpulan anak muda dari Persatuan Mendaki Negeri Perlis (Perlis Climbers) menggunakan kemahiran dan pengalaman dimiliki mereka dengan membantu mengecat Jambatan Tuanku Syed Putra di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis di sini.

Lebih menarik, kerja-kerja mengecat jambatan setinggi 25 meter oleh 11 individu itu turut dibantu dua atlet wanita kebangsaan iaitu Siti Nur Sara Sollehuddin, 33, dan Nadiah Wafa, 32.

Apa yang istimewa, aktiviti mengecat yang mengambil masa 12 hari bermula 17 Januari lalu itu adalah pengalaman pertama bagi atlet memanjat dinding tiruan dan luncur udara negara berkenaan.

Setiausaha Perlis Climbers, Mohd Aizat Zahid memberitahu, mereka menggunakan kemahiran dan pengalaman dimiliki dala sukan tersebut bagi membantu mengecat jambatan itu yang menjadi antara produk pelancongan di negeri ini.

Katanya, penglibatan persatuan terbabit dalam kerja-kerja mengecat berkenaan apabila kontraktor jambatan itu memerlukan tenaga profesional bagi tujuan tersebut.

“Jambatan Tuanku Syed Putra terletak di atas kawasan laut dan tinggi selain berangin kuat yang berbahaya sekali gus memerlukan tenaga profesional melakukan kerja-kerja mengecat itu.

“Kami memulakan kerja khususnya pada waktu pagi dengan menyiapkan semua peralatan keselamatan. Kami selalunya membuat kerja sehingga malam bergantung pada keadaan cuaca dan angin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Jambatan Tuanku Syed Putra adalah antara ikon Kuala Perlis yang turut diberi keceriaan selain beberapa rumah penduduk di Seberang Ramai di sini membabitkan pelbagai agensi kerajaan dan inisiatif penduduk setempat.

Menurut Mohd Aizat, antara cabaran menyiapkan projek mengecat tersebut adalah keadaan angin kuat dan kawasan yang gagal dicapai dengan mudah.

Namun katanya, semangat kerjasama yang baik antara mereka akhirnya cabaran menyiapkan kerja-kerja tersebut dapat diatasi iaitu hanya memakan masa selama 12 hari.

“Pada hari-hari terakhir projek, kami memanggil kru wanita kami untuk membantu. Secara tidak langsung, ia menarik perhatian ramai pihak terutama penduduk sekitar sekali gus dapat mengubah pandangan dan stigma mengenai wankita dalam melakukan kerja berbahaya dan lasak.

“Kami cukup puas hati dan gembira melihat hasil dan keceriaan jambatan tersebut selepas kerja-kerja mengecat itu siap. Kami menamakan ia sebagai ‘projek pelangi’ kerana simbolik bentuk jambatan yang berbentuk melengkung,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!