33 hotel bajet henti operasi - Utusan Malaysia

33 hotel bajet henti operasi

Beruang Hill antara yang ditutup sementara ekoran pelaksanaan PKP 2.0
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 32 daripada 230 hotel bajet di negeri ini ditutup buat sementara waktu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu.

Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Hotel Malaysia Cawangan Melaka (Mybha), Sazali Sabri berkata, ekoran penutupan sementara hotel bajet di negeri ini seramai lebih kurang 300 pekerja pula diberikan cuti sementara.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKP itu juga dianggarkan kerugian sebanyak RM3 juta dialami oleh kesemua 32 hotel tersebut.

“Semua pemilik hotel tidak ada pilihan. Operasi terpaksa ditutup sementara sehingga tamat PKP dan rentas negeri dibenarkan.

“Tidak ada guna beroperasi jika tidak ada pelanggan. Lebih baik berhenti operasi buat sementara waktu da­ripada lebih teruk menanggung kerugian,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Antara hotel bajet yang menutup operasi sementara waktu ialah Hotel The Trend, Riccarton Jonkerview Cottage, World Youth Hotel, 707 Hotel Plaza, Chong Hoe, Hotel Kancil, Hotel 5 Heeren, Hotel Gill Garden, Hotel Johan dan The Hut.

Hotel lain turut terlibat ialah Hotel A1 Smart, Queenspark, De Ocean, Mimosa, Grand Star, Hotel 906, Hotel 906 Riverside, Sri Impian, Golden Bay, The Sterling, Beruang Hill Resort, Klebang Beach Resort dan Time Hotel Melaka.

Mengulas lanjut Sazali berkata, pihak persatuan berharap PKP yang akan berakhir 18 Februari ini tidak dilanjutkan dan rentas negeri ditarik balik.

Jika PKP diteruskan lagi katanya, keadaan dijangka akan berterusan dan ada kemungkinan lebih banyak hotel-hotel bajet akan ditutup sementara waktu.

“Jika ini terjadi dijangka lebih ramai pekerja akan diberi cuti tanpa gaji,” ujarnya lagi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN