30,000 benih udang galah mati dituba - Utusan Malaysia

30,000 benih udang galah mati dituba

SEBAHAGIAN anak udang yang mati dituba di Sungai Muda dekat Kampung Lubok Kiab, Sungai Petani hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lebih 30,000 benih udang galah di Sungai Muda dekat Kampung Lubuk Kiab dan Sidam Kiri di sini dipercayai mati kesan daripada aktiviti menuba oleh individu tertentu di sungai tersebut sejak seminggu lalu.

Kebanyakan benih udang itu daripada 150,000 ekor benih yang dilepaskan Jabatan Perikanan negeri, Disember tahun lalu.

Aktiviti menuba itu dipercayai dilakukan oleh individu terbabit bertujuan menangkap udang galah sepit biru yang mahal di pasaran dan beberapa jenis ikan lain yang terdapat di sungai berkenaan.

Penduduk yang juga nelayan sungai, Muhammad Hafyim Abdul Wahab, 39, dari Sidam Kiri di sini berkata, aktiviti menuba tersebut bakal menjejaskan pendapatan nelayan sungai di sini selepas banyak benih udang galah mati dan berdepan ancaman kepupusan pada masa hadapan.

Menurutnya, dia sedih apabila melihat anak udang galah tersebut mati secara berperingkat-peringkat sejak seminggu lalu.

“Sehingga hari ini, saya dapati masih ada anak udang galah itu mati dan terapung di sungai ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Udang galah sepit biru menjadi buruan di sungai ini kerana dapat dijual pada harga RM120 sekilogram di pasaran.

Saiful Ridzuan Mohammad, 40, dari Lubok Kiab pula berkata, dia kesal kerana terdapat pihak tertentu yang menggunakan tuba untuk menangkap udang galah di sungai itu.

“Kami menggunakan pukat khas bersaiz 6 inci ke atas untuk menangkap udang galah bagi mengelak udang bersaiz kecil terperangkap bagi menjaga proses pembiakannya. 

“Sebaliknya, pihak tidak bertanggung jawab sesuka hati menggunakan racun tuba sebagai jalan mudah mendapatkan hasil sungai itu sehingga menyebabkan benihnya pun mati,” katanya.

Seorang lagi nelayan sungai, Azman Md. Daud, 45, berkata, sejak dua hari lalu, kebanyakan udang galah dan ikan sungai di sungai itu mula dikesan mereput dan tidak selamat dimakan kerana keracunan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah yang dihubungi berkata, pihaknya menerima satu laporan berkaitan kejadian itu semalam.

Bagaimanapun, katanya, kes itu telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Daerah Perikanan Kulim, Nurul Nadia Abd. Rahman berkata, pihaknya telah melakukan siasatan berkaitan benih udang galah yang mati di sungai itu sejak semalam.

“Siasatan awal mendapati banyak benih udang galah yang mati itu dipercayai akibat racun tuba,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya