Warga Bangladesh ditahan bersama 189 karton rokok seludup - Utusan Malaysia

Warga Bangladesh ditahan bersama 189 karton rokok seludup

ROKOK seludup yang dirampas polis daripada seorang lelaki Bangladesh di sebuah rumah kongsi di dalam ladang kelapa sawit dekat Kampung Gajah semalam. - UTUSAN/GAMBAR IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh bersama 189 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai kira-kira RM8,000 di sebuah rumah kongsi dalam ladang kepala sawit dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, lelaki berkenaan ditahan dalam serbuan pada pukul 10.10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dan Balai Polis Kampung Gajah.

Katanya, dalam serbuan itu seorang lelaki Bangladesh berusia 20-an ditahan selepas polis menemui lima kotak kertas mengandungi sejumlah karton rokok dipercayai rokok seludup.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, lelaki tersebut bekerja di ladang sawit dan menjalankan perniagaan runcit kecil-kecilan dalam rumah kongsi didiaminya di samping penjualan rokok seludup kepada pekerja warganegara asing yang bekerja di ladang bersama-samanya.

“Hasil rampasan mendapati sejumlah 189 karton rokok pelbagai jenama antaranya D-Blend, Zon King, Paradox dan L.A Bold disembunyikan dalam kotak kertas yang dijumpai ketika pemeriksaan lanjut dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Barudin berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu menerima bekalan daripada beberapa pembekal rokok seludup dari daerah jiran dengan kekerapan tiga kali sebulan.

Katanya, suspek turut penjualan rokok seludup itu secara sembunyi yang berselindung di sebalik perniagaan runcit kecil-kecilan yang diusahakannya kerana ladang itu terletak jauh dari pekan.

“Usaha mengesan pembekal rokok seludup yang berkaitan dengan tangkapan kes ini digerakkan dalam usaha membanteras sindiket yang mendalangi kegiatan membekal rokok seludup masuk ke kampung dan ladang sawit di dalam daerah ini,” katanya.

Barudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta yang sama.

Katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, polis juga sedang mendapatkan pengesahan lanjut status dokumen dimiliki suspek dengan Jabatan Imigresen dan suspek kini direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Kami menyeru kerjasama orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat dalam membantu pihak polis membanteras kegiatan yang mendorong kepada ketirisan ekonomi negara seperti ini.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Perak Tengah di talian 05-3712222,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.