UMNO mahu kerusi Parlimen Kuantan - Utusan Malaysia

UMNO mahu kerusi Parlimen Kuantan

AB. HAMID NAZAHAR berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuantan di Kuantan, Pahang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: UMNO Bahagian Kuantan sekali lagi menyuarakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Kuantan, Datuk Seri Ab. Hamid Nazahar berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan dan diputuskan segera pucuk pimpinan UMNO di peringkat Pusat bagi memastikan tidak timbul masalah sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, hasrat tersebut sudah disuarakan akar umbi sebelum ini dan UMNO Bahagian sudah berkorban apabila memberi laluan kepada MCA pada PRU-14 yang lalu.

“Secara umumnya, kita sudah bersedia (bertanding) di kerusi Parlimen Kuantan dan kita harap pucuk pimpinan dapat mendengar dan mempertimbangkan suara akar umbi yang ingin melihat suasana politik matang sejak wujudnya Muafakat Nasional (MN) dan kemudiannya Perikatan Nasional (PN).

“Berkaitan tiga lagi kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuantan, semuanya sudah selesai, tidak ada masalah berbangkit dan kita tetap dengan pembahagian yang dipersetujui sebelum ini,” katanya ketika dihubungi selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuantan di sini hari ini.

Untuk rekod, kerusi DUN Inderapura ditandingi calon UMNO, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif; DUN Teruntum ditandingi MCA, Tee Choon Ser dan DUN Tanjung Lumpur ditandingi Datuk Seri Tengku Zulkifli Tengku Ahmad pada PRU-14.

Bagaimana pun, susulan penubuhan MN tahun lalu, UMNO Kuantan memutuskan untuk memberi laluan kepada Pas bagi kerusi DUN Tanjung Lumpur yang kini disandang oleh Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Dalam perkembangan lain, Abd Hamid berkata, UMNO Kuantan turut meminta kerajaan Persekutuan memberi pertimbangan semula tuntutan royalti minyak yang pernah diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Oktober 2012.

“Tuntutan ini adalah wajar dan realistik kerana Pahang juga mempunyai hak terhadap penemuan telaga minyak yang berada dalam kawasan perairan negeri ini.

“Sudah pasti melalui pengagihan royalti ini kelak dapat membantu kerajaan Pahang melaksanakan pelbagai projek yang dapat memberi faedah kepada rakyat,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya