Tiada had kuota bumiputera import daging sejuk beku - Utusan Malaysia

Tiada had kuota bumiputera import daging sejuk beku

AHMAD HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak ada sekatan atau had kuota ditetapkan kepada mana-mana pihak untuk mengimport daging sejuk beku dari luar negara sama ada dalam kalangan bumiputera atau bukan bumiputera.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, perkara itu berdasarkan langkah liberalisasi yang dibuat sejak tahun 2016 dengan tidak mengehad atau menentukan kuantiti import.

Sebaliknya, kata beliau, mana-mana pihak yang berminat untuk mengimport daging dari luar negara dibenarkan berbuat demikian dengan memperoleh kebenaran mengimport daripada kementerian selepas permohonan dibuat.

Katanya, ini termasuk memenuhi syarat hanya mengimport daging daripada rumah penyembelihan yang diluluskan kerajaan Malaysia dan mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada masa ini terdapat 193 syarikat bumiputera atau meliputi 61 peratus daripada keseluruhan 318 syarikat pengimport yang berdaftar secara pentadbiran dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar setakat Disember tahun lalu.

“Namun, amat menyedihkan purata syarikat bumiputera yang aktif mengimport adalah sekitar antara lapan hingga 10 peratus.

“Justeru, adalah tidak benar mengatakan bahawa pengimport daging bumiputera dinafikan atau dipinggirkan oleh kementerian memandangkan majoriti syarikat yang diluluskan adalah bumiputera.

“Begitu juga isu monopoli bernilai berbilion ringgit dikawal oleh beberapa pengimport bukan bumiputera yang sering dibangkitkan adalah tidak benar kerana urusan rundingan perniagaan di antara pengimport dan pengeksport adalah berasaskan business to business, dan ia tidak melibatkan agensi kerajaan,” katanya ketika ditemui di pejabat beliau, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, keupayaan syarikat untuk mengimport adalah tertakluk kepada kemampuan kewangan, logistik dan rantaian pemasaran syarikat tersebut yang merupakan di luar bidang kuasa kementerian.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, pihak kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar tidak pernah membuat sekatan atau mengawal mana-mana syarikat pengimport sama ada bumiputera atau bukan bumiputera untuk berurus niaga dan mengimport daging untuk pasaran dalam negara.

Ujar beliau, syarikat yang berdaftar sebagai pengimport daging sejuk beku hanya boleh mengimport daging sejuk beku dari rumah penyembelihan yang telah diluluskan oleh kerajaan di bawah Perintah Binatang (Pengimportan) 1962 menurut Seksyen 5 Akta Binatang 1953 (Akta 647) (terpakai di Semenanjung Malaysia).

“Syarikat pengimport daging yang tidak mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan akan digugurkan daripada senarai pendaftaran pengimport secara pentadbiran oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya.

Sebelum ini, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan bahawa pengimport daging bumiputera dinafikan hak dan peluang dalam industri itu sejak sekian lama.

Tajuddin mendakwa, industri bernilai berbilion ringgit itu dimonopoli dan dikawal beberapa pengimport bukan bumiputera, sedangkan pasaran terbesar daging halal adalah orang Melayu Islam. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya