fbpx

26 Januari 2021, 11:24 pm

  TERKINI

Remaja keciciran dituduh patah saluran penapis air rumah jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG:  Gara-gara mematahkan saluran penapis air rumah milik jirannya minggu lalu, remaja lelaki berusia 16 tahun `bertemu buku dengan ruas’ apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan melakukan khianat.

Pesalah juvana itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Farah Nasihah Annuar selepas tuduhan dibacakan terhadapnya.

Remaja tersebut yang kini tidak lagi bersekolah didakwa melakukan khianat ke atas penapis air jenis Skywater Treatment milik lelaki yang merupakan jirannya dengan menolak saluran paip sehingga patah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pandan Jaya di sini pukul 8.40 malam pada 10 Januari lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac ini bagi pendengaran laporan akhlak dan menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. Dia diberikan jaminan RM800 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Shazwani Abdullah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Mohd. Faiz Fahmy Abdul Razak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili remaja itu memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh yang tidak lagi bersekolah menjaga keluarga manakala bapanya seorang buruh. -UTUSAN ONLINE