Proses mediasi rayuan kes saman Awal, Scha terhadap D’Haja 21 Januari - Utusan Malaysia

Proses mediasi rayuan kes saman Awal, Scha terhadap D’Haja 21 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Proses mediasi bagi menyelesaikan kes saman melibatkan pasangan selebriti Awal Ashaari dan isterinya, Scha Al-Yahya dengan syarikat pembekal tekstil D’Haja (Malaysia) Sdn. Bhd. yang kini di peringkat rayuan, ditetapkan pada 21 Januari ini.

D’Haja memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang membenarkan tuntutan saman Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir (Scha) terhadap syarikat itu berhubung dakwaan pelanggaran kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan Maroon keluaran pasangan terbabit.

Peguam, Muzzammil Merican Hasnal Rezua Merican yang mewakili D’Haja berkata, proses mediasi akan berlangsung menerusi aplikasi Zoom berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu bermula semalam.

“Pihak-pihak telah bersetuju untuk menjalani proses mediasi dengan harapan ia boleh mencapai penyelesaian,” katanya selepas pengurusan kes menerusi dalam talian (e-review) di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar hari ini.

Muzzammil Merican berkata, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 4 Februari untuk kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai status mediasi itu.

Pada 8 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi mencadangkan supaya pihak yang terlibat dalam kes saman itu yang kini berada di peringkat rayuan, menyelesaikannya secara baik melalui proses mediasi.

Rayuan itu difailkan D’Haja pada 3 April 2019 atas alasan Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika membenarkan tuntutan saman pasangan selebriti berkenaan pada 27 Mac 2019.

Pasangan suami isteri itu memperoleh ganti rugi RM345,305 selepas menang dalam saman mereka terhadap D’Haja berhubung dakwaan pelanggaran kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi keluaran pasangan terbabit.

Hakim Mahkamah Sesyen Shamsudin Abdullah turut memerintahkan defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM10,000, faedah lima peratus bermula dari dari tarikh pemfailan sehingga pembayaran penuh serta kos RM5,000 kepada kedua-dua  plaintif.

Mahkamah Sesyen juga membenarkan tuntutan balas difailkan D’Haja serta memerintahkan Awal dan Scha membayar RM55,000 selepas mendapati pasangan berkenan memungkiri perjanjian dengan menjual sendiri minyak wangi itu ke Brunei.

Menerusi saman yang difailkan pada 30 April 2018, Awal dan Scha berkata mereka telah memasuki kontrak perjanjian pengedaran eksklusif minyak wangi jenama Bleu dan
Maroon dengan D’Haja pada 11 Oktober 2016 selama dua tahun iaitu sehingga 10 Oktober 2018.

Bagaimanapun, mereka mendakwa D’Haja gagal melaksanakan tanggungjawabnya selaras dengan terma asas perjanjian selain gagal memulangkan sejumalah 3,215 botol
minyak wangi yang dikatakan rosak, gagal menyediakan rekod transaksi jualan dan enggan membayar tuntutan kerugian itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya