Polis Kuala Lumpur buka 39 SJR - Utusan Malaysia

Polis Kuala Lumpur buka 39 SJR

SAIFUL AZLY KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis Kuala Lumpur membuka 39 sekatan jalan raya (SJR) diadakan di seluruh ibu negara dan Putrajaya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa tengah malam tadi.

Sepanjang tempoh sama juga, 37 pasukan pemantauan bertugas di enam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Dang Wangi, Cheras, Wangsa Maju, Brickfields, Sentul dan Putrajaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, sebanyak 1,291 anggota yang terbabit dalam penugasan SJR dan tugas pemantauan berkenaan.

“Bagaimanapun, jumlah SJR serta keanggotaan itu mungkin akan bertambah dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Tambah Saiful Azly, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kita sebagai penguatkuasa akan melaksanakan undang-undang yang diperuntukkan kepada kami bagi mengambil tindakan terhadap individu yang ingkar mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuatkuasa.

“Justeru, saya menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang tempoh PKP ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai kebenaran rentas negeri, beliau berkata, orang ramai boleh membuat permohonan itu di mana-mana balai polis berhampiran mereka.

“Permohonan itu (kebenaran rentas negeri) tidak semestinya dibuat di balai polis berhampiran alamat tempat mereka bermaustautin tetapi orang ramai juga boleh memohon di lokasi mereka berada (seperti tempat kerja),” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perlaksanaan PKP di enam negeri selama 14 hari bermula hari ini sebagai usaha untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Enam negeri yang terbabit PKP adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Manakala enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) sementara PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak untuk tempoh sama.

Sebelum ini, PKP dikuatkuasa dalam empat fasa selama 47 hari bermula 18 Mac hingga 3 Mei 2020.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya