PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara, Westlife 1 dan 2 - Utusan Malaysia

PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara, Westlife 1 dan 2

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga buah kawasan asrama pekerja kilang di Johor akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD terbaharu itu antaranya melibatkan 17 blok bangunan Asrama Pekerja Kejora Juara di Bukit Pasir, Muar.

“Ia susulan nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan setelah dibuat 338 ujian saringan di situ yang merekodkan 212 kes positif Covid-19,” katanya melalui kenyataan.

Beliau menambah, PKPD selama tempoh 14 hari itu sehingga 15 Januari depan hanya akan membabitkan sejumlah 1,828 penghuni yang kesemuanya merupakan pekerja warga asing.

Turut dikenakan PKPD bagi jangka masa serupa ujarnya ialah Asrama Pekerja Westlife 1 dan Westlife 2 di Senai, Johor Bahru ekoran berlaku peningkatan kes positif wabak berkenaan.

Kementerian itu telah melakukan 95 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut mendapati sejumlah 20 kes positif dalam kalangan penghuni di kedua-dua asrama pekerja asing terbabit.

“PKPD di lokaliti ini melibatkan masing-masing dua blok bangunan Westlife 1 dan lima blok bangunan Westlife 2 yang keseluruhannya menempatkan 4,444 penghuni,” jelas Ismail Sabri.

Bagaimanapun beliau berkata, PKPD di Apartmen Ria, Jalan Genting, Bentong, Pahang pula ditamatkan hari ini, iaitu lebih awal daripada jadual yang sepatutnya pada 6 Januari depan.

Sehingga kini, tambah beliau, kementerian berkenaan telah melaksanakan sejumlah 1,042 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, cuma dua kes positif Covid-19 yang direkodkan.

Pelaksanaan PKPD di apartmen berkenaan sudah bermula 10 Disember tahun lalu sebelum dilanjutkan lagi pada 24 Disember berikutnya kerana pengesanan risiko jangkitan baharu.

“Ia ditamatkan lebih awal kerana kesemua penduduk di lokaliti ini telah selesai disaring dan tiada lagi sampel baharu yang perlu menunggu keputusan makmal,” tegas Ismail Sabri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.