PKMM gesa kerajaan kawal harga bahan binaan - Utusan Malaysia

PKMM gesa kerajaan kawal harga bahan binaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) mengakui berlaku peningkatan harga barang binaan sehingga 30 peratus sejak beberapa minggu lalu.

Presidennya, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, beliau sudah menghantar surat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Kewangan berhubung perkara tersebut namun tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga hari ini.

Justeru, beliau menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif dalam memantau dan mengawal harga barang binaan yang meningkat secara mendadak sejak sebelum kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua.

“Ini harus dihentikan kerana ia sangat serius. Apabila harga meningkat sehingga 30 peratus atau mungkin lebih, barang-barang lain seperti paku, paip, besi keluli juga meningkat. Cuma masalahnya sekarang ini walaupun saya sudah mengemukakan surat kepada kerajaan, mereka tidak peduli pun.

“Peningkatan harga barang seperti inilah yang akan menjejaskan kontraktor bumiputera. Akan banyak projek pembinaan yang gagal kerana terpaksa menanggung kerugian terlalu besar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai keluhan kontraktor tempatan yang berdepan dengan isu peningkatan harga barang binaan selain kerja-kerja pembinaan yang terpaksa dihentikan rentetan penularan wabak Covid-19 sejak setahun lalu.

Antara barang binaan yang mengalami peningkatan ialah sebatang besi keluli meningkat daripada RM20 kepada RM28, sebatang paip berharga RM40 meningkat kepada RM50, sekampit simen berharga RM15 naik kepada RM17, pasir satu ela RM60 kepada RM70 dan bumbung atap genting sekeping berharga RM1.70 naik kepada RM2.50.

Surat yang dihantar PKMM itu yang bertarikh 4 Januari 2021 turut dihantar kepada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dalam surat itu, antara lain menyebut peningkatan harga besi keluli sehingga 30 peratus setan membebankan kontraktor terutama kontraktor kecil yang terpaksa membayar harga tambahan antara RM800 sehingga RM1,000 untuk setan besi keluli.

Beliau turut memohon agar kerajaan membenarkan kontraktor mengemukakan Syarat Perubahan Harga (VOP) bertujuan membantu kontraktor menangani kesan kenaikan harga bahan binaan namun telah dimansuhkan pada 2015.

Mohamed Fadzill berkata, kerajaan memberi alasan sebab VOP ditarik balik adalah kerana kontraktor bumiputera perlu bersaing dengan bukan bumiputera tetapi alasan itulah yang akan ‘membunuh’ kontraktor bumiputera secara senyap.

Senada dengan beliau, Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Tan Sri Sufri Mhd. Zin yang mencadangkan agar sumber atau bahan binaan buatan negara ini diutamakan berbanding import serta dasar Buy Malaysia First dikuatkuasakan bagi melindungi industri binaan tempatan.

“Kerajaan harus melaksanakan kawalan ketat terhadap harga bahan binaan dan mengelakkan kartel atau monopoli mengambil kesempatan. Untuk kestabilan harga bahan binaan utama, klausa VOP untuk bahan binaan mesti diperkenalkan dalam semua kontrak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×