Perbicaraan kes jenayah di mahkamah terbuka ditangguh

Perbicaraan kes jenayah di mahkamah terbuka ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua perbicaraan atau pendengaran kes jenayah di mahkamah terbuka sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan enam negeri bermula esok ditangguhkan manakala tarikh baharu akan ditetapkan kemudian.

Bagaimanapun, pihak-pihak berkenaan perlu mendapat persetujuan Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak terlebih dahulu untuk menjalankan perbicaraan secara terbuka bagi kes-kes yang mendesak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, pengendalian prosiding kes sivil akan dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh seperti yang terkandung dalam Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 1 Tahun 2021.

Ujar kenyataan itu, pengendalian kes sivil melalui teknologi komunikasi jarak jauh bagi Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret akan dijalankan dari kediaman masing-masing.

Kenyataan itu juga menyebut, pengurusan kes jenayah di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan akan dijalankan secara teknologi komunikasi jarak jauh melalui platform sidang video dan e-mel.

Ujar kenyataan itu,  pengurusan kes di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret juga dibuat menggunakan teknologi komunikasi jarak jauh dengan persetujuan pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding berkenaan.

“Bagi pendaftaran kes baharu, pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan lebih awal kepada mahkamah bagi tujuan persediaan manakala tarikh sebutan berikutnya akan ditetapkan selepas tamat tempoh PKP,” ujar kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan media itu menggariskan panduan pengendalian kes di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah sepanjang tempoh PKP sehingga 26 Januari ini bagi memastikan akses kepada keadilan berjalan lancar.

Sehubungan itu, semua arahan berhubung pengendalian kes mahkamah seluruh negara semasa tempoh PKP yang telah dikeluarkan bermula 8 Mac hingga 3 Mei tahun lalu, terbatal.

Menurut kenyataan tersebut, permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan di bawah Akta Imigresen akan dijalankan seperti biasa mengikut jadual yang telah ditetapkan manakala lanjutan reman akan dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.

Ujar kenyataan itu, bagi mahkamah yang menggunakan sistem e-Kehakiman, pemfailan kes-kes baharu atau notis rayuan dan dokumen-dokumen adalah melalui sistem e-Filing manakala mahkamah yang belum mempunyai e-filing, pemfailan kes baharu dan dokumen dilaksanakan secara fizikal.

Kenyataan itu juga menyatakan, bagi permohonan perakuan segera kes sivil di Mahkamah Persekutuan, dokumen perakuan segera akan dikendalikan oleh Timbalan Kanan Pendaftar atau Timbalan Pendaftar dan mendapat arahan lanjut daripada Ketua Hakim Negara.

“Perakuan segera kes sivil di Mahkamah Rayuan, dokumen perakuan segera juga akan dikendalikan oleh Timbalan Kanan Pendaftar atau Timbalan Pendaftar dan mendapat arahan lanjut daripada Presiden Mahkamah Rayuan,” ujar kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya