ROMPIN: Gara-gara babi melintas jalan, seorang penjual buah maut selepas lima hari bertarung nyawa akibat melanggar haiwan berkenaan.
Mangsa, Abnu Hajar Diang Ibrahim, 58, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan koma selepas kejadian pada 5 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Azari Miskon berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari bandar ini ke kawasan sawah Sepayang di sini.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Dash telah terlibat kemalangan melanggar babi.
“Mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk menerima rawatan awal dan dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Azari memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia di HTAA pada pukul 5.20 petang semalam.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan berdasarkan siasatan awal kejadian berpunca melanggar binatang.
“Semasa kejadian cuaca mendung dan jalan basah serta terang manakala keadaan permukaan jalan adalah lurus,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










