Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj mengaku tidak bersalah - Utusan Malaysia

Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan MPKj mengaku tidak bersalah

NIZAM Sahari (tengah) hadir diiringi pegawai SPRM bagi pertuduhan salah guna kuasa lima tahun lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan salah guna kuasa iaitu memberi kelulusan kebenaran merancang kepada adik perempuannya lima tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Nizam Sahari, 54, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi adik kandungnya yang merupakan kontraktor pembinaan dan pengusaha stesen minyak berusia 50 tahun bagi cadangan projek bangunan perniagaan empat unit kedai pejabat atas nama Tetuan Permata Cerah Sdn. Bhd. di daerah Hulu Langat.

Tertuduh didakwa membentangkan kebenaran merancang projek itu dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat MPKj dan mengeluarkan borang C (1) iaitu kebenaran merancang kepada Tetuan Permata Cerah Sdn. Bhd.

Nizam yang kini masih lagi bertugas di jabatan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat Cempaka Putih, Tingkat 7, MPKj pada 14 Mac 2016.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab mencadangkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang ditahan semalam di SPRM Selangor kira-kira pukul 2.50 petang itu diwakili peguam, Wan Muhd. Ariff Ameer Wan Normazlan dan tidak membantah cadangan diberikan oleh pihak pendakwaan.

Hakim Rozilah membenarkan semua permohonan pendakwaan dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 25 Februari. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya